MIRI: Kerajaan Sarawak komited membangunkan pendidikan bagi melahirkan anak Sarawak yang berbakat dalam usaha menjadikan negeri ini ke arah status negeri maju menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memberi penuh sokongan penuh dan komitmen dalam perkara yang berkaitan dengan perkembangan pendidikan.
“Seperti sedia maklum, Sarawak mempunyai dasar jangka panjang di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Salah satu sektor penting ialah pendidikan, di mana kita ingin melahirkan bakat-bakat di kalangan rakyat Sarawak. Pembangunan bakat sangat penting kerana ini merupakan pendekatan untuk kita membangunkan Sarawak.
“Itulah sebabnya dalam usaha kita untuk menjadi negari maju, pada 2030, kita memberi bantuan dan penekanan terhadap pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Riam Hill International Secondary School di sini, petang ini.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak kini memiliki lima universiti di negeri ini yang boleh memberi tempat kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran.
“Agenda pendidikan sedemikian diatur demi masa depan anak Sarawak di mana pelaksanaannya akan menguna pakai silibus yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, anak Sarawak yang gagal melanjutkan pengajian di universiti awam selepas permohonan mereka menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) ditolak, masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi.
Ini katanya, berikutan lima institusi pengajian tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan Sarawak menjadi alternatif dan menawarkan tempat kepada mereka.
Lima IPT terbabit iaitu Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), International College of Advanced Technology Sarawak (ICATS) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) kini diuruskan Yayasan Sarawak membuka peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Hui Kian, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii, Pengerusi Lembaga Sekolah RRSS Datuk Seri Law Kiu Kiong dan Tan Sri Datuk Yee Ming Seng dan Ketua Pegawai Eksekutif RRSS Dr Pauline Ho.
Oleh Liong Chai Ling