Nahas helikopter: Dedikasi lima mangsa wajar dihargai – Sebastian Ting

Facebook
WhatsApp
LIMA individu termasuk seorang juruterbang disahkan maut selepas helikopter dinaiki terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Selasa lalu.

MIRI: Pengorbanan lima mangsa nahas helikopter yang sedang menjalankan tugas dalam Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Selasa lalu, wajar dikenang dan dihargai atas dedikasi mereka dalam membantu masyarakat pedalaman Sarawak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata tragedi yang meragut nyawa seorang juruterbang dan empat petugas perubatan barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) itu merupakan satu kehilangan besar, khususnya kepada komuniti di kawasan pedalaman dan terpencil.

Beliau berkata, FDS sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan yang sukar diakses.

“Ini adalah berita yang amat menyayat hati. Kita kehilangan lima individu yang sedang menjalankan tugas, termasuk petugas perubatan barisan hadapan yang memberikan perkhidmatan kesihatan penting kepada penduduk di kawasan terpencil.

“Mereka kehilangan nyawa ketika menjalankan tugas dan berkhidmat untuk rakyat. Dedikasi serta komitmen mereka amat mengagumkan dan kehilangan mereka amat dirasai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

TIMBALAN Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew,

Sebastian berkata, petugas perubatan terbabit memikul tanggungjawab besar dalam memastikan penduduk pedalaman mendapat akses kepada rawatan dan perkhidmatan kesihatan, meskipun berdepan cabaran dari segi akses serta pengangkutan.

Katanya, pengorbanan dan komitmen mereka dalam memberikan khidmat kepada masyarakat perlu diberikan penghargaan dan penghormatan setinggi-tingginya.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak kerajaan Sarawak dan seluruh rakyat negeri ini merakamkan ucapan takziah serta simpati yang mendalam kepada keluarga semua mangsa.

“Semoga mereka yang terkorban beristirahat dengan aman dan semoga keluarga mereka diberikan kekuatan serta ketabahan untuk menghadapi tragedi yang tidak terbayangkan ini.

“Ingatan dan doa kami bersama mereka sepanjang tempoh yang amat sukar ini,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Tiga kawasan catat IPU sangat tidak sihat

KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak terus merosot apabila tiga stesen pemantauan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat