“10 tahun lagi kakak bawa gelaran Dr demi mommy”

Facebook
WhatsApp
ANTARA luahan Euodia menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya selepas pemergian ibunya, Jururawat Terlatih (SN) Debra Moset, yang maut dalam tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Baram, Selasa lalu.

MIRI: Impian seorang anak untuk bergelar doktor menjadi antara luahan paling menyentuh hati selepas ibunya, Jururawat Terlatih (SN) Debra Moset, antara mangsa tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Baram, Selasa lalu.

Anak mendiang, Euodia, meluahkan rasa bangga terhadap ibunya menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya yang turut tular di media sosial.

Euodia menyifatkan ibunya sebagai wanita paling kuat dalam hidupnya, selain banyak berkorban demi anak dan keluarga.

“Semoga ‘mommy’ (ibu) bersemadi dengan tenang. Kakak bangga dengan ‘mommy’ sebab ‘mommy’ meninggal dunia ketika memberikan perkhidmatan kesihatan.

“Kakak masih ingat ‘mommy’ pernah kata yang ‘mommy’ mahu teman kakak sampai jadi doktor,” katanya.

Euodia turut mengimbau hasrat mereka untuk bekerja di tempat yang sama suatu hari nanti, namun menyedari impian itu mungkin tidak kesampaian.

“Mungkin dalam kehidupan yang lain saja, ya, ‘mommy’. Terima kasih kerana menjadi wanita paling kuat dalam hidup kakak.

“Walaupun Tuhan hanya menitipkan ‘mommy’ kepada kakak selama 15 tahun, kakak masih ingat segala usaha ‘mommy’ selama ini, wanita yang sanggup melakukan segala-galanya demi anak dan keluarga,” katanya.

Dalam hantaran sama, Euodia mendoakan agar roh ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta meminta mendiang pergi dengan tenang.

“‘Mommy’ mesti bahagia di alam sana. Kakak sentiasa mendoakan ‘mommy’. Terbanglah ke tempat yang mulia, kakak sudah mengikhlaskan pemergian ‘mommy’.

“Tuhan lebih menyayangi ‘mommy’. Kakak berjanji, 10 tahun akan datang kakak akan membawa gelaran ‘Dr Euodia’ demi ‘mommy’,” katanya.

Menurut Euodia, minatnya untuk mengikuti aliran sains ketika di sekolah turut tercetus hasil dorongan ibunya.

“Kalau bukan sebab ‘mommy’, kakak tidak akan minat dengan aliran sains. Dulu ‘mommy’ suruh kakak masuk aliran sains supaya kakak senang mendapat pekerjaan.

“Kakak akan usahakan atas nama ‘mommy’,” katanya.

Euodia mengakhiri luahan itu dengan menitipkan doa dan penghargaan buat ibunya yang disifatkan sebagai “malaikat” dalam hidupnya.

“Berbahagialah di alam sana, wahai malaikat hidupku,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling