SAMALAJU: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual melawat Projek Jalan Ulu Suai berharga RM80 juta dekat Miri pada 25 Ogos ini.
Bagi melancarkan jadual lawatan kerja Ketua Menteri ke tapak projek itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi meninjau persiapannya bersama-sama pegawai kanan kerajaan dan penduduk setempat.
Antara pegawai kanan kerajaan menemani beliau ialah Pemangku Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pegawai Daerah Subis, Jamalie Busri.
Datuk Patinggi Abang Johari dijadual tiba di tapak projek terbabit pada jam 10.00 pagi.
Majang bercakap kepada pemberita di sini semalam memberitahu, jalan sepanjang 19 kilometer itu dengan kos projek RM80 juta menggunakan teknologi ‘Cold in-situ Pavement Recycling (CIPR) Australia.
Apabila siap kelak, jalan raya itu akan memberi manfaat kepada sekitar 7,000 penduduk dari 14 buah rumah panjang dan kampung, empat buah sekolah, sebuah klinik dan tiga buah rim kelapa sawit.
Penduduk di kawasan terbabit juga menjalankan kegiatan pertanian termasuk mengusahakan tanaman kelapa sawit sebagai sumber ekonomi utama mereka.
Oleh Ellie Edward