

AKTIVITI dilakukan oleh pelajar Program Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL) sepanjang berlangsungnya pengajian. Foto KKSRCS
SIBU: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan baru-baru ini menjadi titik tolak buat ribuan lepasan sekolah menilai hala tuju masa depan mereka.
Bagi yang tidak mencapai keputusan cemerlang, laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini dilihat sebagai pilihan utama dan bukan lagi jalan kedua.
Mengangkat slogan TVET Untuk Semua, Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) tampil menawarkan peluang baharu kepada lepasan SPM untuk melakar masa depan melalui Program Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL).

Menurut kenyataan KKSRCS hari ini, program selama dua tahun itu terbuka kepada calon yang lulus Bahasa Melayu dan Sejarah serta memiliki sekurang-kurangnya satu subjek kredit.
“Program ini dirangka bagi membina asas kukuh dalam sektor pelancongan, warisan dan kembara – selari dengan keperluan industri pelancongan dan perhotelan yang terus berkembang,” menurut kenyataan itu.
Pelajar SPL akan menjalani 18 bulan pengajian di kampus dan enam bulan latihan industri melibatkan hotel, agensi pelancongan dan taman warisan.
Modul pengajian merangkumi pengurusan aktiviti kembara, perkhidmatan pelanggan dan hospitaliti, interpretasi budaya, komunikasi pelancongan serta etika pengurusan pelawat.
Pelajar turut didedahkan dengan pelaksanaan kembara sebenar ke destinasi dalam dan luar Sarawak serta pembangunan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan pengucapan awam.
SPL merupakan program yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan membolehkan graduan menyambung pengajian ke peringkat diploma di politeknik dan institusi TVET lain.
Antara prospek kerjaya graduan SPL termasuk pemandu pelancong, pegawai khidmat pelanggan, ejen pelancongan, pembantu acara, dan pembantu taman warisan.
Dengan yuran pengajian serendah RM200 setiap semester, KKSRCS turut menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan RM5,249 ke bawah.
“KKSRCS komited menjadi institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang inklusif dan prihatin, khususnya untuk pelajar dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah,” menurut kenyataan itu lagi.
Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui pautan rasmi https://bit.ly/intake2025KKSRCS atau menyertai saluran maklumat Telegram rasmi di https://t.me/+o03mlZbsqT81MmU1.
Oleh Tarani Lanting