KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara hari ini.
Difahamkan, mesyuarat hari ini diadakan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini ditangguhkan pada 11 September.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul berhampiran pintu utama Istana Negara sejak awal pagi bagi mengikuti perkembangan mesyuarat berkenaan.

Terdahulu, kenderaan membawa Hannah dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 7.45 pagi, manakala kenderaan yang membawa Mohd Dusuki tiba tujuh minit kemudian pada 7.52 pagi.
Hannah kemudian dilihat meninggalkan Istana Negara terlebih dahulu, diikuti Mohd Dusuki pada 9.43 pagi selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda.
Mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan keputusan muktamad mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong.- Bernama




