BINTULU: Sebuah kilang papan di Estet Perindustrian Kemena di sini musnah akibat kebakaran yang berlaku malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.45 malam.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebahagian besar struktur kilang yang menyimpan kayu dan bahan lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.41 malam selepas pasukan bomba menggunakan teknik pemadaman defensif.
Namun, beberapa letupan berlaku pada jam 9.08 malam disebabkan gas nitrogen dan oksigen yang berada di dalam kilang.
“Sekitar jam 11.49 malam, kebakaran telah merosakkan lebih daripada 70 peratus struktur kilang, namun situasi tetap terkawal,” tambahnya.
Operasi pemadaman diteruskan sehingga jam 6.45 pagi tadi, dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.