NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Sebuah kilang memproses mangkuk tandas di Batu 9, Jalan Ulu Oya hampir musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, PgKB I Janggan Muling berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada 1.38 pagi.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu diarahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang dua tingkat yang memproses mangkuk tandas terbakar 30 peratus dalam kebakaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Janggan, pihaknya menggunakan dua aliran salur air dari tangki jentera.
“Anggaran keluasan bangunan adalah 450 x 200 kaki persegi manakala keluasan kawasan yang terlibat dengan kebakaran dianggarkan 50 x 50 kaki persegi.
“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 2.10 pagi,” ujarnya.
Jelasnya lagi, hasil maklumat daripada pekerja kilang mendapati tingkat bawah bangunan kilang itu merupakan tempat penyimpanan kotak lapik mangkuk tandas sementara tingkat atas dijadikan rumah sarang burung.
“Setelah memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya pasukan bomba bertolak balik ke balai sekitar 5.56 pagi.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.