KUCHING: Kikis persepsi kuno masyarakat terhadap peranan tradisional wanita sebagai suri rumah.
Itu kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang mahu tanggapan itu diubah.
“Persepsi ini harus ditangkis kerana wanita turut mempunyai banyak kelebihan dalam apa juga bidang yang mereka ceburi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian persidangan Usahawan Wanita DEWANITA DUBS 2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sharifah Hasidah berkata, Sarawak telah mencapai kejayaan besar dalam meningkatkan pemerkasaan ekonomi wanita, penyertaan politik, kepemimpinan dan kuasa membuat keputusan.
Katanya, wanita memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
“Walaupun ramai dalam kalangan wanita di Sarawak telah berjaya, namun kita memerlukan lebih banyak lagi.
“Kita perlukan lebih ramai wanita untuk berjaya. Saya tahu terdapat ramai yang terlibat dalam keusahawanan dan kepemimpinan tetapi potensi sebenar mereka masih perlu dicungkil,” katanya.
Mengulas mengenai persidangan itu, ia merupakan anjuran Dewanita DUBS Sarawak dan telah mengumpulkan wanita dalam bidang perniagaan dan ahli Dewanita DUBS di seluruh negeri ini.
Beliau berharap program itu menjadi platform untuk usahawan wanita belajar, berkongsi dan memperkasakan satu sama lain semasa masa sukar dan untuk bangkit bersama membina perniagaan yang berjaya.
Oleh NUR AIN OTSMAN
Keterangan gambar
Simbolik…. Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali memecahkan belon sebagai tanda gimik perasmian persidangan Usahawan Wanita DEWANITA DUBS 2022 di sebuah hotel di Kuching, hari ini.