Kia perkukuh kehadiran di Sarawak menerusi pusat 3S baharu di Kuching

Facebook
WhatsApp
POTONG REBEN… Dato Wee Hong Seng (tengah) bersama Kim Hyung Ho dan wakil Heng Lian Enterprise Berhad ketika menyempurnakan upacara pemotongan reben sempena pembukaan Pusat 3S Kia Kuching di Jalan Abell. Foto Adele Rissa

KUCHING: Kia memperkukuh kehadirannya di Malaysia Timur menerusi pembukaan Pusat 3S Kia Kuching oleh Heng Lian Enterprise Berhad, sekali gus menawarkan kemudahan sehenti kepada pelanggan di Sarawak bagi mendapatkan kenderaan berkualiti serta perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata pembukaan Pusat 3S Kia Kuching itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan industri automotif di bandar raya ini, selain memperkukuh kehadiran jenama automotif antarabangsa di Kuching.

“Pelaburan ini telah menyumbang secara positif kepada usaha menghidupkan semula kawasan berkenaan, selain menarik peningkatan aktiviti komersial dan mengukuhkan reputasi Jalan Abell sebagai salah satu koridor automotif yang sedang berkembang di sini. 

“Kemudahan tersebut bukan sahaja menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakyat Sarawak untuk mendapatkan kenderaan berkualiti, malah menawarkan akses kepada perkhidmatan selepas jualan yang lebih profesional,” katanya.

DATO Wee Hong Seng bersama Kim Hyung Ho (kanan) ketika bergambar di dalam Kia Carnival yang dipamerkan sempena pembukaan Pusat 3S Kia Kuching di Jalan Abell.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat 3S Kia Kuching oleh Heng Lian Enterprise Berhad di sini, hari ini.

Menurutnya, keyakinan Heng Lian Enterprise Berhad untuk terus melabur di Kuching mencerminkan potensi ekonomi bandar raya ini, khususnya selepas syarikat itu menubuhkan operasi di Jalan Abell pada 2024.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Kim Hyung Ho berkata pembukaan Pusat 3S Kia Kuching Heng Lian Enterprise Berhad merupakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat memperkukuh semula kedudukan jenama Kia di Malaysia.

Beliau berkata, pembukaan pusat tersebut selari dengan strategi Kia Sales Malaysia untuk memperkukuh semula, membina semula serta meletakkan semula kedudukan jenama Kia di pasaran tempatan, selain membawa jenama berkenaan lebih dekat kepada pelanggan di Malaysia Timur.

DATO Wee Hong Seng, Kim Kyung Ho dan Emily Lek serta barisan pengurusan Kia Sales Malaysia dan Heng Lian Enterprise Berhad bergambar selepas majlis perasmian Pusat 3S Kia Kuching. Foto Adele Rissa 

Menurutnya, Kia bersama rakan pengedar komited menawarkan produk berkualiti, pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih lancar serta tahap perkhidmatan pelanggan yang tinggi.

“Dengan pembukaan ini, Kia kini mempunyai 26 pengedar di seluruh Malaysia dan kami akan terus memperluaskan rangkaian serta meningkatkan perkhidmatan supaya lebih ramai pelanggan dapat menikmati pengalaman memiliki kenderaan Kia,” katanya.

Kim berkata, Kia turut mencatat prestasi jualan global terbaik pada separuh pertama 2026 dengan lebih 1.6 juta kenderaan terjual di seluruh dunia, mengatasi rekod sebelumnya yang dicapai pada 2025.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek berkata syarikat yakin rangkaian model Kia yang ditawarkan mampu memenuhi keperluan pengguna di Sarawak yang mempunyai geografi luas serta jarak perjalanan yang jauh.

Beliau berkata, model seperti Kia Sportage dengan varian pacuan semua roda (AWD) menawarkan keupayaan lebih baik untuk menghadapi pelbagai keadaan jalan raya, manakala Kia Carnival berkuasa diesel mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 900 kilometer bagi satu tangki penuh.

“Bagi Kia, ia bukan semata-mata mengenai angka jualan, tetapi bagaimana memperkenalkan jenama global yang relevan dan sesuai dengan keperluan pasaran tempatan, selain memberikan pengalaman pelanggan terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian tersebut, hari ini. 

Menurutnya, Kia akan terus memperluaskan pilihan produk serta memahami keperluan pelanggan tempatan bagi memastikan model yang ditawarkan memenuhi gaya hidup pengguna di Sarawak.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kia Heng Lian Enterprise Berhad, Sean Chang berkata pembukaan pusat berkenaan bukan sekadar pelancaran fasiliti baharu, tetapi mencerminkan komitmen syarikat untuk menawarkan pengalaman automotif bertaraf dunia kepada pelanggan di Sarawak.

Beliau berkata pusat itu akan membawa lebih dekat model-model terkini Kia, teknologi automotif moden serta perkhidmatan pelanggan yang menepati piawaian antarabangsa kepada komuniti Kuching.

Pembukaan Pusat 3S Kia Kuching Heng Lian Enterprise Berhad itu sekali gus menjadi langkah penting dalam memperluaskan kehadiran jenama Kia di Sarawak, selain menawarkan penyelesaian pemilikan kenderaan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan di negeri ini.

Majlis perasmian yang disempurnakan Dato Wee Hong Seng itu turut diserikan dengan upacara pemotongan reben sebagai simbolik pembukaan pusat berkenaan.

Oleh Adele Rissa