SIMANGGANG: Regu Kelab Sepak Takraw Pusa (KESTAP) dinobat sebagai ‘Raja Libas Simanggang’ 2024 edisi ke-3 selepas muncul juara di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Dalam aksi perlawanan akhir itu, KESTAP menewaskan regu GSU Likun A (2-0) dengan kiraan mata 15-10 dan 15-12.
Dengan kejuaraan itu, KESTAP berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala dan pingat, manakala regu GSU Likun A membawa pulang hadiah wang tunai RM700, piala dan pingat.
Sementara itu, regu Kajas 12 Y dan GSU Likun B pula berada di tempat ketiga bersama apabila mereka masing-masing tewas pada aksi separuh akhir dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM300, piala dan pingat.
Bagi kategori veteran regu pula, GSU Likun muncul juara selepas menewaskan KASMERA 2-0 dalam perlawanan akhir itu. GSU Likun menewaskan KASMERA dengan kiraan mata 17-14 dan 15-9.
Dengan kejuaraan itu, GSU Likun berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM800, piala dan pingat, manakala pasukan KASMERA yang muncul naib juara membawa pulang hadiah RM500, piala dan pingat.
Sementara itu, regu ZRZ Team dan PESTAS pula berada di tempat ketiga bersama apabila mereka masing-masing tewas pada aksi separuh akhir dengan hadiah RM200, piala dan pingat.
Dalam pada itu, sebanyak empat anugerah khas telah disampaikan iaitu anugerah apit kanan terbaik kepada Abang Ajmal Shauqi (KASMERA), apit kiri terbaik kepada Subairi Kubin (KESTAP), tekong terbaik kepada Muhd Fakurazi Julaini (KESTAP) dan anugerah pemain harapan kepada Muhd Haris Hipni (GSU Likun A).
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari dan timbalannya, Zaidil Ripin.
Sebanyak 25 regu terbuka dan sembilan regu veteran telah menyertai Kejohanan Sepak Takraw Raja Libas Simanggang 2024 Edisi 3.
Oleh ADI SAFARMAN