Kesihatan lebih berharga daripada kekayaan

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN...Sim, Chiew, Chieng, Abang Bakeri dan tetamu jemputan melakukan simbolik perasmian Program Kesedaran Tentang Kesihatan Diri 2026 di Pusat Beli-Belah Mega Star, hari ini.

SIBU, 17 Oktober: Kesihatan perlu diutamakan meskipun sibuk mencari rezeki dan memenuhi tuntutan kehidupan seharian kerana kesejahteraan diri merupakan asas kepada kebahagiaan individu serta keluarga.

Dato Chieng Buong Toon berkata, kesihatan ialah aset paling bernilai yang tidak dapat digantikan dengan wang ringgit, namun kepentingannya sering diabaikan apabila seseorang terlalu mengejar tuntutan kerjaya dan kehidupan.

Menurutnya, ramai ibu bapa terlalu menumpukan perhatian kepada usaha mencari rezeki serta menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak sehingga mengabaikan penjagaan kesihatan diri.

“Walaupun memiliki kekayaan yang melimpah ruah, semuanya tidak bermakna sekiranya kita tidak mempunyai tubuh badan yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng pada Program Kesedaran Tentang Kesihatan Diri 2026 di Pusat Beli-Belah Mega Star (Star Mega Mall), hari ini.

Program anjuran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Lower Lanang Sibu itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri.

Chieng berkata, pemeriksaan kesihatan secara berkala penting bagi membolehkan masalah kesihatan dikesan pada peringkat awal, sekali gus membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan keadaan kesihatan diri kerana sesetengah penyakit boleh berkembang secara beransur-ansur tanpa disedari.

Katanya, amalan hidup sihat tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar, sebaliknya boleh dimulakan dengan perubahan kecil seperti mengelakkan tabiat berjaga sehingga lewat malam dan memberikan perhatian kepada kesihatan mental.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua persatuan dan pihak penganjur yang bekerjasama menjayakan program berkenaan dalam usaha memupuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap penjagaan kesihatan.

Turut hadir ialah Kaunselor Abang Bakeri Abang Ismail, Pengerusi JKKK Jalan Lower Lanang Sibu, Kapitan Sim Tang Fei dan pengerusi penganjur, Daphne Chiew.

Oleh Akun Giman