SRI AMAN: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis melahirkan rasa kesal berhubung tindakan sesetengah individu yang tergamak menentang kerajaan kerana tidak dilantik sebagai ketua kaum di kawasan mereka.
Menurut beliau pelantikan Ketua Kaum (Tuai Rumah, Ketua Kampung dan Kapitan) memerlukan syarat yang umumnya sudah diketahui oleh para individu berkenaan selama ini dan bukan dilantik secara sesuka hati.
“Jika tidak dapat dilantik sebagai ketua kaum, individu-individu ini mungkin boleh dipertimbang untuk memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan masing-masing.
“Malangnya ada di antara mereka yang tidak berpuas hati berhubung perkara ini. Ia menyebabkan mereka bertindak menentang kerajaan dan mewujudkan puak baharu hingga menjurus kepada perpecahan rakyat di penempatan masing-masing,” kata beliau.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian pada Program Info On Wheels (IOW) anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman di Rumah Sherit Tambon, Titikah, Batu Lintang Undop di sini baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga menasihatkan rakyat agar tidak bersikap seperti ‘kacang lupakan kulit’ berhubung sumbangan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap pembangunan hidup mereka selama ini.
“Kawasan DUN Simanggang misalnya sehingga kini telah pun dilimpahi banyak projek pembangunan daripada kerajaan GPS walaupun terdapat segelintir pihak yang bertindak ‘tutup mata dan telinga’ berhubung perkara itu sehingga sekarang.
“Justeru saya berharap agar ketua kaum dapat menyedarkan rakyat mengenai perkara ini dan seterusnya mengajak mereka untuk terus menyokong kerajaan ke arah mencapai visi Sarawak antara negeri termaju dalam Malaysia menjelang tahun 2030 nanti,” kata beliau.
Harden pada program itu telah menyerahkan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada 85 penerima dari 11 rumah panjang di sini dan seterusnya menyerahkan sijil pemilikan ‘Rubber Block Plantation’ (RBA) kepada 150 peserta.
Pemilikan sijil RBA berkenaan melibatkan tanah berkeluasan 343 hektar dengan pihak Jabatan Pertanian akan menyelia projek tersebut selama lima tahun berpandukan kepada kontrak sebelum selenggara ladang itu diambil alih oleh peserta itu sendiri.
Turut hadir, Timbalan Residen Sri Aman, Elvis Didit, pemangku Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Jessica Gilbert Bunsu, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Sandin Ajah, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman, Fedilis Ann Dizer, para wakil jabatan kerajaan, ketua kaum dan rakyat di sini.
Oleh Valentine Ngumbang