SIBU: Suspek lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembuangan bayi semalam, direman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret Oon Kork Chern mengeluarkan perintah tersebut selepas mendengar permohonan daripada pegawai pendakwa yang diketuai oleh ASP Siti Mariyah Dahari.
Terdahulu, Siti Mariyah memohon tahanan reman tujuh hari terhadap suspek berusia 44 tahun itu bagi membantu siasatan kes pembuangan bayi di Jalan Tong Sang, pagi semalam.
Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman enam hari dan mengarahkan suspek dihadapkan semula di mahkamah pada 5 November ini.
Mengikut laporan sebelum ini, suspek bersama seorang remaja perempuan berusia 14 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan bayi lelaki di Jalan Tong Sang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkilli Suhaili dalam satu siaran medianya semalam berkata, tindakan pantas pihak polis menjalankan siasatan telah membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek.
Katanya, bayi tersebut ditemui dalam keadaan lemah di dalam bekas penyimpanan ikan berhampiran tempat pembuangam sampah sekitar 8.30 pagi itu.
“Berdasarkan siasatan awal, bayi yang ditemukan bersama uri dan tali pusatnya itu disyaki baru dilahirkan dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
“Bayi tersebut kini dirawat di Hospital Sibu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dengan berat 1.48 kilogram,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Oleh Akun Giman