25 kes dadah diputuskan di Mahkamah Majistret Bau

Facebook
WhatsApp
Foto hiasan.

BAU: Sebanyak 25 kes berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 diputuskan di Mahkamah Majistret Bau pada 24 dan 25 September, dengan tertuduh dikenakan hukuman denda atau penjara.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata kes berkenaan melibatkan kesalahan yang disiasat antara 2020 hingga 2026.

Antara tertuduh yang dijatuhi hukuman ialah mereka yang dikenakan denda antara RM2,500 hingga RM5,000, dengan hukuman penjara antara sembilan hingga 11 bulan sekiranya denda gagal dibayar.

Empat tertuduh yang membayar denda ialah Liu Sian Wei (RM2,500), Miclionel Royston Anak Miko (RM3,300), Sebastian Claymen Anak Maydrin (RM3,000) dan Suhaimi Bin Ahmad (RM3,000).

Bagi tertuduh yang gagal membayar denda, hukuman penjara masing-masing akan berkuat kuasa. Muhamad Kasyaf Bin Mostapha, misalnya, dikenakan dua denda berjumlah RM7,000, dengan hukuman penjara masing-masing 10 dan 11 bulan bagi kedua-dua kes sekiranya denda gagal dibayar.

Chin Seng Fui pula dikenakan tiga denda berjumlah RM14,000, dengan hukuman penjara 10 bulan bagi setiap kes sekiranya gagal membayar denda.

Billy Artika Anak Tapa turut berdepan tiga kes berasingan dan dikenakan denda RM5,000, RM3,000 serta RM4,000, dengan hukuman penjara 10 bulan bagi setiap kes jika denda tidak dibayar.

Johnny John Bartholomew pula dijatuhi hukuman penjara 10 bulan bagi satu kes dan 10 bulan lagi secara berturutan bagi kes kedua.

Dalam kes berasingan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, Al-Firdausi Bin Ismail dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan yang dikira dari tarikh reman pada 26 Mei 2026.

Beliau turut dijatuhi hukuman penjara 11 bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a), berkuat kuasa mulai 25 September.

Turut dijatuhi hukuman penjara 11 bulan pada 25 September ialah Bong Siak Siong, Freddy Chee, Ringgo Anak Ingam dan Thomas Yuyut.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Bin Nor Kazly di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.

Oleh Connie Chieng