SIBU: Sarawak terus melaporkan kes Covid-19 harian yang tinggi berikutan Kerajaan Negeri tidak mengubah polisi untuk menguji kontak rapat yang bergejala sahaja.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr. Annuar Rapa’ee berkata, tidak seperti negeri lain, Sarawak meneruskan ketegasannya untuk menguji setiap kontak rapat tanpa mengira sama ada mereka mengalami gejala atau tidak simptomatik.
Beliau juga mengatakan bahawa kes positif perlu dikuarantin walaupun mereka tidak simptomatik.
“Hari ini (13 Mac), dari 222 kes di Sarawak, hanya 35 kes yang menunjukkan simptomatik, jika kita hanya melakukan ujian terhadap mereka yang mempunyai simptom, Sarawak hanya akan melaporkan 35 kes dan bukan 222 kes.
“Bagaimanapun, 222 kes itu adalah kes positif dan boleh menjangkiti orang lain. Bagi Sibu pula, dari 38 kes yang dilaporkan hari ini hanya lapan kes yang menunjukkan gejala.
“Sekiranya kita mengubah dasar kita, bermaksud hanya lapan kes dilaporkan untuk Sibu hari ini,” katanya semasa siaran langsung Facebook hariannya, kelmarin.
Jelasnya, Sarawak terus menguji setiap kontak rapat walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.
Katanya, Sarawak juga tidak menolak permintaan mana-mana individu yang ingin menjalani ujian calitan walaupun mereka tidak simptomatik.
Beliau juga menjelaskan bahawa daripada 38 kes di Bahagian Sibu, 19 kes dilaporkan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS), 14 kes di Sibujaya dan lima kes di Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).
Sementara itu, katanya sehingga 12 Mac, Sibu mempunyai kadar positif 2.85 peratus.
Beliau juga mengatakan bahawa 93.2 peratus pesakit Covid-19 telah pulih dan 14 pesakit memerlukan bantuan mesin pernafasan.
Oleh NURZILLA MOHAMAD