SIBU, 26 Nov (Bernama) — Hasil kerja tangan gelandangan yang menjalani latihan di Tempat Transit Geladangan (TTG) di sini, akan dijual di stesen Petronas di negeri ini.
Ketua (Jualan Wilayah Sarawak) Petronas Dagangan Berhad Abby Sukardy Mohamad berkata melalui inisiatif itu juga tabung kutipan derma buat TTG akan ditempatkan di stesen Petronas bagi membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan.
Katanya projek yang dimulakan di stesen Petronas di daerah Sibu itu bukan hanya untuk memupuk kesedaran orang ramai tetapi juga membantu TTG menjana pendapatan.
“Terdapat 15 stesen Petronas di Sibu dan tabung derma TTG akan ditempatkan di kaunter juruwang. Kita akan mula jual kerja tangan seperti anyaman bakul dari TTG Sibu di tujuh stesen Petronas menjelang Disember tahun ini dan stesen Lanang Barat di sini menjadi premis pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran ‘Project Another Chance for Homeless’ di stesen Petronas Lanang Barat, di sini hari ini.
Abby berkata Petronas Sarawak dipelawa Pejabat Residen Bahagian Sibu untuk menjadi rakan strategik TTG Sibu sejak sejak awal tahun ini.
Menurutnya kerjasama itu bertujuan menyemai kesedaran orang ramai mengenai komuniti gelandangan di Sibu di samping mewujudkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan.
Katanya pada tahun ini sahaja Petronas Sarawak telah mengadakan pelbagai aktiviti bersama TTG Sibu seperti majlis berbuka puasa, kutipan derma melalui program kitar semula serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
— BERNAMA