PETRA JAYA: Projek menaik taraf bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama kepada Pusat Seni Persembahan Sarawak kini mencapai kemajuan 46 peratus, iaitu 1.6 peratus mendahului jadual pelaksanaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek berkenaan dijangka siap pada Jun 2027 sekiranya pelaksanaannya terus berjalan lancar tanpa sebarang halangan.
Beliau berkata, berdasarkan taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsultan, sebahagian besar kerja utama yang mencabar sudah diselesaikan, manakala kerja kini lebih tertumpu kepada kemasan dalaman dan aspek reka bentuk dalaman.
“Saya melihat progres perjalanan naik tarafnya amat baik sekali dan mendahului jadual. Sekarang 46 peratus, 1.6 peratus mendahului jadual.
“Saya rasa yang berat-beratnya sudah selesai. Sekarang lebih kepada yang halus, yang dalam, berkenaan dengan reka bentuk dalaman dan sebagainya,” katanya selepas meninjau perkembangan projek berkenaan.

Menurut Abdul Karim, kompleks itu bukan hanya membabitkan bangunan utama untuk seni persembahan, sebaliknya merangkumi tiga komponen yang akan dibangunkan sebagai satu kompleks.
Katanya, selain pusat seni persembahan, bangunan Old Lapau akan dijadikan restoran, manakala kawasan bekas pancutan air turut dinaik taraf sebagai sebahagian daripada keseluruhan projek.
Beliau berkata, sasaran siap pada Jun 2027 amat bersesuaian dengan penganjuran Sukan SEA 2027 pada September, sekali gus memberi peluang kepada kompleks itu digunakan untuk aktiviti seni dan budaya bagi pengunjung dari negara ASEAN.
“Kalau siap dalam bulan Jun, kita dapat rasmikan dan seterusnya semasa Sukan SEA kita juga akan boleh adakan acara di sini untuk pengunjung yang datang kerana akan ada ketua negara dan sebagainya daripada ASEAN,” katanya.
Abdul Karim berkata, sekiranya perasmian rasmi belum dapat dilakukan sebelum Sukan SEA, pihaknya masih boleh mempertimbangkan penganjuran persembahan melalui pelancaran secara kecil-kecilan atau ‘soft launch’.
Katanya, kehadiran pengunjung dan delegasi dari negara Asia Tenggara sempena temasya berkenaan boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan budaya dan persembahan seni Sarawak.
“Kita mahu melihat mereka daripada negara-negara berbeza di Asia Tenggara datang untuk sukan dan juga untuk riadah dan budaya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata antara keistimewaan projek berkenaan ialah usaha mengekalkan elemen asal bangunan DUN lama yang berusia kira-kira 53 tahun.
Menurutnya, elemen seperti panel kayu dan terutama bumbung menggunakan mozek kaca emas dikekalkan bagi memastikan nilai estetika serta identiti asal bangunan terus terpelihara.
“Kita kekalkan mozek kaca asal yang berwarna emas untuk mengekalkan nilai estetik bangunan. Ia mungkin sedikit mahal kerana ada unsur seperti daun emas, tetapi ia akan menjadikan bangunan ini terserlah dengan identitinya sendiri,” katanya.
Beliau berkata, keputusan mengekalkan elemen lama itu bukan sesuatu yang mudah kerana kerja menaik taraf bangunan sedia ada lebih mencabar berbanding membina bangunan baharu.
“Kalau bangunan baharu, kita boleh reka mengikut cara kita. Tetapi kalau bangunan lama, kita perlu menyesuaikan diri dengan struktur dan sebagainya,” katanya.
Abdul Karim berkata, bangunan DUN lama itu mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana pernah menjadi tempat persidangan DUN serta menyaksikan pelbagai proses penggubalan undang-undang.
Katanya, beliau sendiri pernah mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di bangunan berkenaan pada 2001.
“Bangunan ini sudah 53 tahun. Ia mempunyai sejarahnya sendiri kerana ia bangunan DUN lama kita. Banyak kenangan tentang bangunan ini dan banyak penggubalan undang-undang berlaku di sini.
“Saya pun mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri ini pada 2001,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata terdapat cadangan untuk mewujudkan sebuah galeri kecil bagi memaparkan sejarah bangunan tersebut, selain menerbitkan buku meja kopi selepas projek siap.
Katanya, galeri berkenaan tidak perlu terlalu besar, sebaliknya memadai untuk memaparkan sejarah serta barangan lama yang masih dikekalkan dalam bangunan.
Beliau berkata, walaupun bangunan berkenaan tidak diwartakan sebagai bangunan warisan, usaha mengekalkan khazanah dan elemen asal sudah memadai untuk memastikan sejarahnya terus dikenang.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berkata kompleks itu turut dirancang sebagai ruang riadah untuk masyarakat selaras dengan hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, supaya kawasan tersebut berfungsi sebagai ‘Taman Rakyat.’
Katanya, kawasan sekitar kompleks itu boleh menjadi tempat keluarga membawa anak-anak beriadah, manakala bangunan utama pula akan digunakan untuk persembahan seni apabila siap kelak.
Selain itu, beliau berkata beberapa pihak dalam industri seni persembahan sudah menyatakan minat untuk bekerjasama selepas pusat berkenaan siap.
Katanya, antara pihak yang menyatakan hasrat itu termasuk kumpulan filharmonik dan penggiat industri dari Kuala Lumpur yang berminat untuk terlibat sebagai rakan kerjasama atau penasihat.
“Sudah ada banyak tawaran daripada mereka yang berada dalam bidang ini untuk menyertai pasukan sebagai penasihat dan sebagainya apabila kita menguruskan bangunan ini pada masa depan,” katanya.
Abdul Karim berkata, pihaknya bagaimanapun mahu memastikan bangunan tersebut disiapkan terlebih dahulu sebelum bentuk kerjasama dan pengurusan pusat berkenaan ditentukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR, konsortium kontraktor, konsultan serta semua pihak yang terlibat kerana memberikan perhatian terhadap pelaksanaan projek itu.
Katanya, komitmen semua pihak juga penting bagi memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual dan tanpa sebarang masalah keselamatan.
“Dengan pasukan yang ada sekarang dan komitmen yang saya lihat, sama ada daripada konsultan, JKR, kementerian dan kontraktor, insya-Allah kita sepatutnya dapat siapkan mengikut masa.
“Yang baiknya, dari masa penyerahan dahulu sehingga sekarang tidak ada masalah kecederaan dan sebagainya. Saya harap keadaan ini berterusan sehingga projek siap,” katanya.
Mengenai nama rasmi pusat berkenaan, Abdul Karim berkata keputusan masih belum dibuat dan perkara itu akan dibincangkan dengan pihak berkuasa tertinggi Sarawak.
Katanya, buat masa ini projek berkenaan dikenali sebagai Pusat Seni Persembahan Sarawak, namun nama rasmi mungkin ditentukan kemudian.
“Nama spesifik akan diputuskan kemudian. Ia perlu menjadi sesuatu yang semua rakyat Sarawak boleh banggakan,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




