PETRA JAYA: Jualan produk kraf tangan sempena Pesta Kraf Borneo 2025 yang dianjurkan bersama Pesta Tebingan Kuching merekodkan RM2.4 juta tahun lalu, meningkat berbanding RM1.7 juta pada tahun sebelumnya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan nilai jualan itu menunjukkan potensi besar kegiatan kraftangan sebagai antara tarikan ekonomi dalam penganjuran Pesta Tebingan Kuching.
Katanya, jualan kraf tangan yang sebelum ini hanya sekitar RM1.7 juta meningkat kepada RM2.4 juta pada tahun lalu, dengan penyediaan ruang jualan berhawa dingin antara faktor yang membantu menarik lebih ramai pengunjung dan pembeli.
“Jualan kraf tahun sebelum itu RM1.7 juta sahaja, tahun lalu meningkat kepada RM2.4 juta. Saya percaya tahun ini ia mungkin meningkat lagi,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan Majlis Penyerahan Cek Penaja di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, kemudahan ruang jualan berhawa dingin itu akan diteruskan pada penganjuran tahun ini bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung selain mewujudkan persekitaran yang lebih sesuai untuk peniaga mempamerkan produk mereka.
Beliau berkata, peningkatan jualan berkenaan juga menunjukkan Pesta Tebingan Kuching bukan sekadar menjadi lokasi penganjuran acara kebudayaan dan hiburan, sebaliknya turut berperanan sebagai platform menjana pendapatan kepada usahawan tempatan.
Katanya, manfaat ekonomi yang terhasil sepanjang pesta berkenaan juga tidak terhad kepada sektor kraftangan, malah turut melibatkan Dapur Sarawak, pengusaha trak makanan dan peniaga lain yang menjalankan perniagaan di sekitar Tebingan Kuching.
“Bukan kraf sahaja. Dapur Sarawak, trak makanan dan yang lain-lain pun akan mendapat manfaat. Jualannya pun meningkat,” katanya.
Untuk rekod, Pesta Kraf Borneo 2025 yang dianjurkan sempena Pesta Tebingan Kuching 2025 berjaya melibatkan 111 usahawan dan mencatatkan jualan keseluruhan RM2.4 juta, melepasi sasaran RM2.2 juta. Rekod jualan tahun sebelumnya pula adalah sekitar RM1.7 juta.
Peningkatan daripada RM1.7 juta kepada RM2.4 juta itu menunjukkan pertambahan sekitar RM700,000, atau kira-kira 41 peratus dalam tempoh setahun.
Abdul Karim berkata, pihaknya berharap prestasi jualan kraf tangan itu dapat terus dipertingkatkan menerusi penganjuran Pesta Tebingan Kuching tahun ini, terutama dengan pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang tempoh pesta.
Sarawak Regata – Pesta Tebingan Kuching 2026 dijadualkan berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 Novemberdengan pelbagai program termasuk pertandingan perahu naga, Regata Sarawak, kegiatan kebudayaan, persembahan pentas serta aktiviti jualan di sekitar Tebingan Kuching.




