SERIAN: Seramai 139 warga Indonesia dipindahkan dari Depot Imigresen Semuja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu bagi tujuan penghantaran pulang ke negara asal melalui laluan darat, hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, pemindahan yang dilaksanakan pada hari ini itu membabitkan 111 lelaki dan 28 perempuan.
Katanya, proses pemindahan diketuai wakil Komandan Depot Imigresen Semuja, Shareena Mohamad Shuib, bersama pasukan pegawai iringkawal.

“Turut hadir wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI), Daniel Nugroho, Konsul/Sekretaris 2, bagi memastikan urusan berkaitan penghantaran pulang warga Indonesia dapat diselaraskan dengan baik,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, kerjasama antara JIM Sarawak dan KJRI dalam urusan penghantaran pulang berkenaan membantu memastikan proses pemindahan berjalan dengan teratur, selain aspek keselamatan dan kawalan diberi keutamaan.

Keseluruhan proses pemindahan berjalan dengan baik, selamat dan terkawal, selaras dengan prosedur yang ditetapkan bagi urusan pemindahan serta penghantaran pulang warga asing.
Oleh Afiq Sallehi




