SARATOK: Kemunculan seekor anak buaya tembaga sepanjang kira-kira 0.6 meter di tepi jalan utama di Jalan Disso Dunga, di sini, mencetuskan kebimbangan orang awam sebelum berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, malam tadi.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.10 malam yang memaklumkan mengenai kewujudan reptilia berkenaan.
Menurutnya, tiga anggota APM Saratok daripada Skuad Charlie segera digerakkan ke lokasi pada 9.12 malam dan tiba enam minit kemudian.
“Pengadu memaklumkan ternampak kelibat seekor anak buaya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum meminta bantuan APM untuk menangkapnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati laporan berkenaan benar apabila seekor anak buaya tembaga ditemukan berada di tepi jalan utama.
Beliau berkata, anggota yang terbabit terlebih dahulu memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum operasi menangkap reptilia itu dijalankan.

“Anak buaya tembaga berukuran kira-kira dua kaki itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit dengan peralatan yang sesuai,” katanya.
Operasi melibatkan tiga anggota, iaitu Prebet Ikhtiaruddin Yafiq Ahmad Sufian, Prebet Alvin Gadut dan Prebet Hajijah Ahim.
Antara peralatan digunakan termasuk penjerut, penyepit ular, jaring, sarung tangan, topi keledar keselamatan serta lampu suluh bagi memastikan operasi dilakukan dengan selamat.
Anak buaya terbabit kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Saratok untuk tindakan selanjutnya, manakala operasi di lokasi seleasi pada 9.24 malam.
Keseluruhan operasi mengambil masa kira-kira 24 minit, dari ketibaan anggota di lokasi sehingga operasi selesai, dengan jarak perjalanan sehala kira-kira tiga kilometer.
Oleh Adi Safarman





