KUCHING: Kerja baik pulih kerosakan unit rumah Blok 1A di Projek Pembangunan Darul Hana di sini sedang giat dijalankan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Mohamad Asman Ahmad.
Katanya, penduduk di situ yang ingin membuat aduan kerosakan, boleh menghubungi talian 082-445-521.
Beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan Darul Hana untuk menggunakan saluran yang betul bagi
menyuarakan ketidakpuasan hati atau berkongsi maklumat berhubung kerosakan rumah.
“Perkongsian menerusi medium yang salah dikhuatiri mendatangkan kebimbangan serta penyaluran maklumat kurang tepat kepada orang awam.
“Setiap aduan kerosakan yang diterima menggunakan saluran yang betul akan diproses.
“Kami akan sentiasa berusaha untuk memberi maklum balas kepada aduan-aduan diterima, namun pada masa sama kami bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas mengenai perkongsian gambar-gambar kerosakan unit rumah di Blok 1A yang tular di media sosial baru-baru.
Mohamad Asman berkata, HDC ada menyediakan saluran aduan khas serta nombor telefon untuk dihubungi bagi sebarang aduan kerosakan melibatkan unit-unit rumah di Projek Pembangunan Darul Hana, Kuching.
Katanya, bagi memastikan keselamatan penduduk berada pada tahap terbaik, pemantauan berterusan akan dilakukan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA