KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil maklum cadangan nama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi proses pameran dan mendapatkan maklum balas orang awam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, proses berkenaan merupakan tanggungjawab SPR, termasuk mendapatkan pandangan daripada pengundi terhadap cadangan yang dikemukakan.
“Ini adalah kerja pihak SPR. SPR telah mempamerkan cadangan termasuk nama-nama DUN dan seterusnya menerima maklum balas daripada orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Mengulas mengenai beberapa nama DUN yang dianggap kurang lazim, Abang Johari berkata, perkara tersebut tidak menjadi isu sekiranya nama yang dicadangkan merujuk kepada lokasi yang sememangnya wujud.
Menurut beliau, terdapat kawasan atau kampung yang mempunyai nama tertentu, termasuk Pasir Pandak, yang sememangnya merupakan nama sebuah kampung di Sarawak.
Sementara itu, ditanya sama ada proses berkenaan sempat diselesaikan sebelum tempoh semasa kerajaan negeri berakhir, Premier Sarawak berkata perkara tersebut bergantung kepada proses yang sedang dilaksanakan oleh SPR.
Beliau berkata, proses berkenaan kini masih di peringkat pameran pertama dan akan disusuli dengan pameran kedua.




