CONNIE CHIENG
KUCHING: Ia pasti menjadi satu kelegaan berikutan pengumuman mulai sekarang, dua orang ahli keluarga dibenarkan untuk keluar bersama di dalam sebuah kereta.
Ketua polis daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Awang Din Awang Gani apabila dihubungi Utusan Sarawak mengesahkan pengumuman tersebut.
Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac cuma membenarkan ketua keluarga sahaja untuk keluar membeli barangan keperluan dan makanan dan ini menyebabkan ramai yang kecewa dengan peraturan itu.
Fasa keempat PKP bermula pada rabu (29 April) dan menurut warta persekutuan terkini yang diwartakan pada 28 April, ketua keluarga boleh ditemani oleh seorang ahli keluarga yang tinggal serumah terutamanya untuk tujuan mendapatkan khidmat perubatan dan kesihatan.
Untuk membeli barangan keperluan harian, individu tidak dibenarkan untuk diiringi oleh sesiapa.
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang terkini ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang menerangkan PKP dilanjutkan dari 29 April hingga 12 May.
Bagi mereka yang ingin bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain, ia hanya boleh dilakukan dengan kebenaran bertulis daripada polis.