KMKK, Ketua Ranting jadi penghubung aspirasi rakyat DUN Lingga

Facebook
WhatsApp
DAYANG Noorazah semasa mengadakan mesyuarat bersama KMKK serta Ketua Ranting PBB Cawangan Lingga semalam. Foto ADUN Lingga

SIMANGGANG: Kerjasama erat antara kepimpinan setempat amat penting bagi memastikan setiap keperluan dan kebajikan masyarakat di kawasan Lingga terus mendapat perhatian sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, mesyuarat bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga menjadi ruang penting untuk memperkukuh komunikasi serta penyelarasan di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, pertemuan sedemikian membolehkan pelbagai pandangan dan maklum balas daripada pemimpin masyarakat dikongsi secara terus, khususnya berkaitan keperluan semasa penduduk di kawasan masing-masing.

Katanya, KMKK dan Ketua Ranting memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan kepimpinan setempat dalam menyampaikan isu, pandangan serta aspirasi rakyat.

“Pertemuan ini membuka ruang perkongsian pandangan berhubung keperluan masyarakat serta kepentingan kerjasama antara kepimpinan setempat,” katanya.

Beliau berkata, penyelarasan yang baik di peringkat akar umbi amat diperlukan supaya setiap isu yang dibangkitkan masyarakat dapat dikenal pasti dan diberikan perhatian mengikut keutamaan.

Menurutnya, hubungan komunikasi yang berterusan antara pemimpin setempat juga dapat membantu memperkukuh semangat kerjasama dalam menyantuni masyarakat, selain memastikan maklumat berkaitan program dan keperluan penduduk dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada semua KMKK, Ketua Ranting serta barisan PBB Cawangan Lingga atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.

Beliau berharap kerjasama serta kesepaduan antara kepimpinan akar umbi akan terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha membawa pembangunan serta kesejahteraan berterusan kepada masyarakat di Lingga.

Oleh Adi Safarman