KUCHING: Kerajaan Sarawak selama ini sentiasa mengamalkan pemerintahan yang berpaksikan ‘Keutamaan Sarawak’ (Sarawak Centric), bukan ‘Keutamaan Kaum’, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak menjadikan kesama-rataan terhadap pembahagian kepentingan semua kaum di negeri ini sebagai keutaaman dalam pentadbiran mereka.
“Tidak ada kaum yang dipinggirkan, baik dari segi pembagunan mahupun pengagihan bantuan, semua akan dapat sama rata dan adil.
“Kita tidak mengamalkan ‘Keutamaan Kaum’, kerana kita mengamalkan konsep keadilan kepada semua pihak tanpa mengira kaum,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak (WMS) di Jalan Diplomatik, di sini semalam.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak komited dalam menyediakan prasarana dan bantuan bukan untuk orang Melayu sahaja, tetapi kepada kaum lain seperti Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.
“Sebelum ini, saya menyempurnakan bangunan Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) dengan Dewan Perniagaan dan Perindustran Dayak (DCCI) iaitu Menara Panggau Dayak.
“Hari ini (semalam) saya bersama orang Melayu, dan bulan depan saya akan ke Miri untuk bersama Orang Ulu, juga berkaitan dengan bangunan mereka sendiri di sana.
“Ini adalah tanda kami (Kerajaan Sarawak) sentiasa bersikap adil dalam memberikan peluang pembangunan kepada semua masyarakat di negeri ini,” ujarnya.
Tegasnya, beliau akan memastikan bahawa dasar kepemimpinan kerajaan ini akan diteruskan bagi menjaga kestabilan dan keamanaan di negeri ini.
Dalam hal berkaitan, Abang Johri turut menyentuh berkaitan kejayaan Kerajaan Sarawak dalam mendapatkan hasil tambahan yang dapat memberikan keuntungan kepada rakyat.
“Baru-baru ini, kita telah menambah pencapaian termasuk rundingan bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang dijangka akan membawa perubahan pada pendapatan negeri.
“Jika hasilya bagus, kita akan membahagikan keuntungan ini kepada rakyat di samping mengutamakan pembangunan lain,” jelasnya.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP