
BINTULU: Seramai 52 penderma berjaya menyumbangkan sebanyak 20,800 mililiter darah menerusi Kempen Derma Darah Sedunia untuk Memberi Kehidupan Melalui Kasih Paskah yang dianjurkan Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan di The Spring Bintulu, hari ini.
Program yang merupakan siri ke-1,962 di peringkat global itu menghimpunkan sekitar 80 peserta terdiri daripada ahli gereja, keluarga serta masyarakat setempat bagi membantu meningkatkan bekalan darah Hospital Bintulu.
Wakil Gereja Tuhan berkata, kempen tersebut diadakan bersempena sambutan Paskah sebagai simbol memperingati kasih, pengorbanan dan nilai kehidupan yang diajarkan oleh Yesus Kristus.

“Melalui kempen ini, kami berharap lebih ramai masyarakat menyedari kepentingan menderma darah kerana setiap sumbangan mampu membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan,” katanya.
Hospital Bintulu turut menyediakan pasukan perubatan, peralatan serta sokongan logistik sepanjang program berlangsung.
Ketua Jabatan Perubatan Transfusi dan Bank Darah Hospital Bintulu, Dr Nur Ain Yaakob, menghargai komitmen semua penderma yang tampil menjayakan kempen berkenaan.
“Setiap beg darah yang didermakan mampu memberi manfaat kepada ramai pesakit yang memerlukan rawatan. Sumbangan ini amat bermakna kepada hospital dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, usaha sedemikian bukan sahaja membantu meningkatkan bekalan darah, malah menyemai semangat kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, salah seorang penderma, Unking Saran, 44, berkata beliau berasa gembira kerana dapat menyumbang kepada usaha menyelamatkan nyawa.
“Walaupun saya bukan petugas perubatan, saya percaya melalui derma darah ini saya dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Seorang lagi penderma, Simba Rantau, 44, berharap lebih ramai orang akan tampil menyertai program seumpama itu sebagai tanda kasih sayang terhadap sesama insan.
Kempen Derma Darah Sedunia untuk Memberi Kehidupan Melalui Kasih Paskah mula diperkenalkan oleh Gereja Tuhan di Korea pada 2005 dan kini dilaksanakan di pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, India, Sepanyol, Afrika Selatan dan Brazil.
Selain kempen derma darah, Gereja Tuhan turut aktif melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial seperti pembersihan alam sekitar, bantuan bencana, penanaman pokok serta inisiatif pemuliharaan alam sekitar di beberapa lokasi di Malaysia.
Gereja Tuhan kini beroperasi di lebih 7,800 lokasi di 175 negara dengan keanggotaan melebihi empat juta orang serta telah melaksanakan puluhan ribu program kesukarelawanan di seluruh dunia.
Turut hadir, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) N70 Samalaju, Hillary Mawan yang merakamkan penghargaan kepada Gereja Tuhan kerana menganjurkan program berunsurkan kebajikan itu.
Oleh Shikin Mahmud