KAPIT, 5 November: Seramai 13 individu tampil membuat ikrar sebagai penderma organ pada Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Hospital Kapit 2026 di Kapit Town Square, baru-baru ini.
Jumlah itu mewakili 24 peratus daripada keseluruhan 54 pengunjung yang didekati dan diberikan penerangan mengenai kepentingan pendermaan organ sepanjang kempen berkenaan.
Manakala, seramai 41 individu atau 76 peratus lagi masih belum bersedia untuk membuat ikrar pendermaan organ atas pelbagai faktor.
Kempen bertemakan ‘Derma Organ, Anugerah Kehidupan’ itu dianjurkan oleh Pasukan Perolehan Tisu dan Organ (TOP Team) Hospital Kapit, diketuai Pakar Perubatan Anestesiologi Hospital Kapit, Dr Liew Kenlee bersama anggota pasukan berkenaan.

Penganjuran kempen tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ dan menggalakkan lebih ramai individu tampil sebagai pengikrar penderma organ.
Hospital Kapit menerusi kenyataannya memberitahu, hasil interaksi bersama pengunjung mendapati terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keputusan seseorang untuk menjadi pengikrar penderma organ.
Antaranya termasuk kepercayaan budaya dan agama, pandangan ahli keluarga, kurangnya perbincangan mengenai pendermaan organ dalam keluarga serta kebimbangan terhadap keadaan fizikal jenazah selepas proses pendermaan.
Sehubungan itu, pendidikan berterusan, komunikasi terbuka bersama ahli keluarga dan penyampaian maklumat yang tepat dilihat amat penting bagi meningkatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap pendermaan organ.
Kempen berkenaan turut berlangsung serentak dengan kempen derma darah yang diadakan di lokasi bersebelahan.
Kempen derma darah itu dianjurkan bersama oleh Seksyen Belia Persatuan Foochow Kapit, Kelab Lions Kapit dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Kapit.
Penganjuran kedua-dua kempen pada hari sama memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menyumbang kepada usaha menyelamatkan nyawa, sama ada melalui pendermaan darah mahupun ikrar pendermaan organ.
Sementara itu, Hospital Kapit menerusi TOP Team akan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pendermaan organ, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar.
Antara inisiatif yang dirancang termasuk program turun padang ke rumah panjang dan komuniti luar bandar, ceramah kesihatan di sekolah serta hebahan menerusi saluran radio tempatan.
Usaha berkenaan diharap dapat membantu masyarakat memperoleh maklumat yang sahih, mengatasi salah faham dan menggalakkan perbincangan mengenai hasrat pendermaan organ bersama ahli keluarga.
Hospital Kapit turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota TOP Team, penganjur kempen derma darah, sukarelawan dan masyarakat Kapit atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
Orang ramai juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai pendermaan organ dan berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat keputusan untuk menjadi pengikrar penderma organ.
Oleh Akun Giman




