Kerapuhan tulang boleh jadi petunjuk awal kanser – Pakar

Facebook
WhatsApp
KESIHATAN TULANG… Kerapuhan tulang yang menyebabkan seseorang mudah mengalami patah tulang boleh menjadi petunjuk awal kanser dan memerlukan pemeriksaan lanjut. – Gambar hiasan dijana AI.

KUALA LUMPUR, 4 November: Kerapuhan tulang yang menyebabkan seseorang mudah mengalami patah tulang tanpa kecederaan serius, tidak semestinya berpunca daripada osteoporosis atau faktor usia, sebaliknya boleh menjadi petanda awal kanser yang belum dikesan.

Pakar Onkologi Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohamed Hafizudin Abdullah Sani berkata kira-kira 30 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan akibat kerapuhan tulang, didiagnosis menghidap kanser selepas menjalani pemeriksaan lanjut.

“Memang ada pesakit datang kerana patah tulang, tetapi apabila kita siasat sepenuhnya, rupanya mereka menghidap kanser. Kepatahan tulang akibat kanser juga mempunyai ciri-ciri berbeza berbanding patah tulang akibat osteoporosis,” katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV bertajuk “Kerapuhan Tulang: Faktor Usia Atau Amaran Kanser?”, di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa jenis kanser seperti kanser payudara, paru-paru dan prostat berpotensi merebak ke tulang, khususnya tulang belakang, pinggul dan pelvis yang mempunyai banyak saluran darah serta sumsum tulang.

Dr Mohamed Hafizudin berkata pesakit yang mengalami penyebaran kanser ke tulang lazimnya berdepan kesakitan berpanjangan, terutamanya pada waktu malam, selain keletihan melampau dan anemia akibat pengurangan kandungan hemoglobin dalam darah.

Mengulas lanjut, beliau berkata osteoporosis pula lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga berlaku kepatahan tulang, sekali gus menyebabkan ramai individu tidak menyedari keadaan itu.

Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan orang ramai mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala, khususnya individu berusia 40 tahun ke atas, selain tidak mengabaikan gejala luar biasa yang berlarutan.

Ketika ditemui selepas program itu, beliau berkata pengambilan minuman berkafein secara berlebihan turut berpotensi menjejaskan penyerapan nutrien dalam badan dan boleh memberi kesan kepada kesihatan tulang.

“Kafein secara umumnya tidak menyebabkan kerapuhan tulang, tetapi jika diambil secara berlebihan, ia boleh mengganggu metabolisme badan, menjadikan kita ketagihan serta menyebabkan penyerapan zat-zat lain berkurangan dalam badan kita.

“Jadi, secara tidak langsung, minuman berkafein yang berlebihan boleh menyebabkan kerapuhan tulang,” katanya.

Mengenai rawatan kecederaan tulang dan ligamen, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan urutan pada bahagian yang baharu mengalami kecederaan, kerana ia boleh meningkatkan keradangan serta risiko pendarahan dalaman.

“Kita ada kes yang pergi urut berlaku hematoma maksudnya pendarahan. Jadi bila diurut, kawasan itu lagi bengkak,” katanya.- Bernama