Kemena Pacific Hospital kini beroperasi di Bintulu

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari menyempurnakan simbolik perasmian sambil disaksikan oleh tetamu kehormat pada majlis pelancaran Semula Kemena Pacific Hospital di Bintulu, hari ini.

BINTULU: Kemena Pacific Hospital yang sebelum ini dikenali sebagai Columbia Hospital, kini muncul sebagai hospital swasta terbaharu bertaraf antarabangsa di Bintulu selepas diambil alih sepenuhnya oleh Borneo Medical Centre (BMC).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengembangan BMC ke Bintulu selepas Kuching, Sibu dan Miri membuktikan kemampuan syarikat tempatan mengukuhkan rangkaian perkhidmatan perubatan swasta di negeri ini.

“Dengan ada hospital swasta ini di samping hospital kerajaan sedia ada, sektor perubatan di Sarawak khususnya di Bintulu akan lebih diperkasa, seterusnya meningkatkan kualiti kesihatan rakyat dari semasa ke semasa. 

“Saya ucap tahniah kepada pihak pengurusan kerana berjaya memperluaskan operasi ke seluruh negeri,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran semula Kemena Pacific Hospital di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, pembangunan pesat Bintulu sebagai hab industri dan pelaburan asing menjadikan kehadiran hospital swasta bertaraf antarabangsa semakin penting bagi memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dan ekspatriat yang berkhidmat di bandar ini.

PENGARAH Eksekutif Kumpulan Borneo Medical, Robert Lau menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari.

“Sebagai contoh, syarikat pengeluar bahan polysilicon akan membawa masuk kira-kira 200 jurutera. 

“Berdasarkan budaya kerja mereka, pemeriksaan kesihatan tahunan adalah wajib. 

“Hospital seperti ini menyediakan pilihan rawatan moden yang pantas dan berstandard tinggi bukan sahaja kepada ekspatriat tetapi juga rakyat tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata, kerjasama antara hospital swasta dan kerajaan amat penting dalam menghadapi cabaran penyakit baharu. 

Katanya, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM300 juta untuk penyelidikan saintifik termasuk dalam bidang perubatan regeneratif.

“China melalui Hospital Fudan kini mendahului dalam bidang ini. 

“Kita sedang menjalin kerjasama dengan mereka agar Sarawak turut dapat membangunkan kepakaran dalam perubatan regeneratif,” katanya sambil menambah Kerajaan Pusat dan negeri telah bersetuju menubuhkan Pusat Kanser di Sarawak.

Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya turut memaklumkan pembangunan Pusat Penyakit Berjangkit (SIDC) di Kota Samarahan akan membuka ruang baharu dalam dunia perubatan, khususnya dalam kajian penyakit zoonotik dan penyakit tropika terabai (NTD) yang menjadi ancaman global.

Oleh Carolyne Utih

Bakat AI luar bandar tidak boleh tercicir

KOTA SAMARAHAN: Peluang mempelajari teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diperluas kepada murid di luar bandar supaya mereka turut mempunyai ruang