LAWAS: Kerajaan Sarawak telah merangka pelbagai usaha untuk kembangkan ekonomi seluruh daerah di negeri ini melalui pelbagai inisiatif dan program.
Pembinaan Anjung Usahawan adalah salah satu daripada pendekatan Kerajaan Sarawak membangunkan sektor industri kecil dan sederhana di peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan, Anjung Usahawan ini akan menjadi pusat bagi memberi peluang peniaga untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan sederhana.
“Kemudahan ini akan pusat untuk memudahkan aktiviti memproses hasil pertanian, perikanan, penternakan dan kraftangan,” katanya pada Majlis Pelancaran Anjung Usahawan Sundar dan Simbolik Penyampaian Enjin Sangkut Nelayan Daerah Lawas semalam.
Anjung Usahawan ini katanya, boleh dijadikan sebagai pusat inkubator dan boleh dijadikan sebagai alamat pendaftaran untuk syarikat persendirian atau keluarga.
Setakat ini sejumlah lapan buah Usahawan akan dibina melalui peruntukan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di Bahagian Limbang iaitu di Kampung Pahlawan, Tedungan/Batu Danau, Ba’kelalan, Long Tuan, Kampung Pemukat Kuala Lawas, Kampung Noor Islam Kuala Lawas, Kampung Punang Jaya dan Kampung Ladang Baru.
Manakala Anjung Usahawan Sundar dan lainnya dibawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut menjelaskan bahawa satu pelan pembangunan daerah kecil Sundar telah dirangka dalam menjadikan kawasan ini sebuah kawasan maju dan berdaya saing.
Oleh itu daerah kecil luar bandar Sundar akan dibangunkan sebagai kawasan perniagaan, ekonomi, taman alam semula jadi dan riadah selain berpotensi dibangunkan sebagai kawasan agropolitan.
“Di Sundar ini kita akan membangunkan bangunan kerajaan, pusat perniagaan,tempat untuk membina kemudahan kediaman, pembesaran kampung dan tempat untuk kegiatan ekonomi berdasarkan potensi Sundar sebagai kawasan agropolitan,”ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato Henry Sum Agong, Timbalan Presiden SABATI, Dato Hajah Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Setiausaha Tetap Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Sr. Zaidi Mahdi, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip, Pengarah UKAS Tuan Samat Junai, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin dan kenamaan lain.
Seterusnya ADUN Bukit Sari itu memberitahu, pelan tempatan itu akan digabungkan dengan pelan utama untuk membangunkan kawasan Sundar dan sekitarnya.
Jelasnya lagi penduduk Lawas bakal menikmati musim bunga sakura sebaik sahaja ‘Urban Park Sundar Lawas’ siap dilaksanakan.
Taman ini yang sudahpun ditender akan menjadi pusat sukan ekstrim, pusat riadah dan pusat aktiviti yang boleh melibatkan wilayah di Teluk Brunei seperti Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei.
Beliau juga mahu penduduk setempat memanfaatkan kemahiran dan peluang yang ada untuk terlibat dalam sektor pembinaan memandangkan banyak projek besar sedang dilaksanakan di Lawas.
“Mereka yang ada kepakaran perlu mengambil peluang bekerja dalam sektor pembinaan.
“Di Lawas sahaja banyak peluang sektor pembinaan termasuk pembinaan Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Lawas yang memerlukan tenaga kerja ramai sekali gus mengurangkan pengambilan pekerja asing.
“Ramai penduduk tempatan dan golongan muda yang ada kelebihan jika tidak dapat turun ke laut dan ada kemahiran perlu merebut peluang ini,”katanya.
Pada majis berkenaan, Awang Tengah turut melakukan simbolik penyerahan bantuan enjin sangkut kepada penerima daripada kawasan Sundar, Awat-awat dan Trusan.
Sejumlah RM5 juta dibelanjakan dibawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk penyerahan bantuan enjin sangkut di
Bahagian Limbang.
Oleh ADENG EDRUS