KECEMERLANGAN yang ditunjukkan skuad Sarawak United FC yang muncul sebagai naib juara Liga Premier 2021 musim ini, mampu menjadi landasan terbaik untuk mengangkat kembali zaman kegemilangan bola sepak negeri ini.
Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata bukan sahaja saingan Liga Premier, skuad Sarawak United yang dipimpin oleh ketua jurulatih E Elavarasan itu dilihat begitu cemerlang beraksi dalam kempen TM Piala Malaysia yang telah ‘menumbangkan’ dua pasukan Liga Super.
“Saya percaya, jika kejayaan ini berterusan tidak mustahil kita akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan sukan bola sepak Sarawak selepas ini, tidak mustahil pasukan kita akan mara ke pusingan akhir Piala Malaysia nanti.
“Sarawak United kini bangkit kembali daripada ‘zaman kegelapan’ dengan semangat baharu iaitu pasukan Kenyalang Emas Sarawak.
“Dan saya mahu Sarawak United menjadi pasukan yang komited dan konsisten dalam menerajui arena sukan bola sepak tempatan, sekaligus, saya ingin melihat pasukan bola sepak kita digeruni dan cemerlang seperti era sebelum-sebelumnya.
“Saya mewakili Kerajaan Sarawak mengucapkan tahniah kepada pasukan Sarawak United FC, kejayaan seperti inilah yang kita tunggu-tunggu setelah sekian lama,” katanya ketika berucap pada Majlis penutupan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM (Lesen D) 2021 di salah sebuah hotel terkemuka di Miri semalam.
Snowdan berkata kejayaan ini juga sudah tentu menjadi penanda aras serta landasan terbaik terutamanya pihak Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengangkat bakat-bakat muda dan belia di Sarawak untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi, sekaligus menyarung jersi pasukan Sarawak United selepas ini.
Justeru, FAS katanya memerlukan jurulatih yang bertauliah, untuk melahirkan pemain yang berkualiti serta profesional dan boleh meningkatkan mutu bola sepak Sarawak ke tahap yang lebih tinggi serta membanggakan.
“Jika FAS berjaya mengangkat ramai dikalangan pemain-pemain muda yang berbakat untuk diketengahlan ke peringkat lebih tinggi, adalah tidak mustahil pasukan Sarawak United satu hari nanti dibarisi semua pemain tempatan yang berkualti tinggi setanding pemain import dan dari Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Snowdan mahu FAS mempunyai hala tuju, program pembangunan jangka pendek dan jangka panjang.
“Kita perlu mempunyai jurulatih bertauliah dan berkelayakan untuk membimbing pemain di semua peringkat.
“Di Eropah misalnya, mereka meletakkan jurulatih yang mempunyai Lesen A untuk program pembangunan. Ia telah pun dilakukan sejak bepuluh tahun yang lalu.
“Ia berbeza dengan kita di Malaysia, biasanya kita meletakkan jurulatih yang hanya mempunyai Lesen C atau D untuk tujuan ini,” tegasnya.
Tambah Snowdan, impian itu akan dapat direalisasikan dengan adanya kerjasama semua pihak dalam memastikan matlamat tersebut dicapai antaranya, mengenal pasti bakat peringkat akar umbi, meningkatian kepakaran serta kebolehan jurulatih melatih pemain dan banyak lagi usaha dilakukan secara intensif oleh pihak tertentu.
Turut hadir Timbalan Presiden FAS, Saif Jubaidi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Lamat Nyalau, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri, Nazri Ahmad Lai dan Pengarah Teknikal FAS, David Usop.
Oleh ADI SAFARMAN