KUCHING, 26 November: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen menyalurkan peruntukan bagi membeli 120 tan batu untuk menambah baik jalan masuk ke kawasan penempatan setinggan Kampung Kudei Dungun, susulan aduan penduduk mengenai keadaan jalan yang teruk.
Beliau berkata, jalan berkenaan sudah lama berada dalam keadaan tidak memuaskan, selain menjadi berlumpur dan sukar dilalui ketika hujan sehingga menyukarkan penduduk setempat.
“Susulan permintaan masyarakat setempat, pejabat saya menyalurkan peruntukan bagi membeli 120 tan batu untuk meratakan dan menambah baik jalan berkenaan supaya lebih selamat dan memudahkan pergerakan harian penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terletak berhampiran sempadan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dan Batu Lintang, Kampung Kudei Dungun dihuni ratusan isi rumah yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
Menurut Yii, kepadatan penduduk di kawasan penempatan itu turut menyumbang kepada keadaan sanitasi yang kurang memuaskan.
Beliau berkata, jalan sama pernah mengalami masalah serupa pada awal 2024, apabila pejabatnya turut menyalurkan peruntukan bagi membeli batu untuk menambah baik permukaan jalan berkenaan.
Bagaimanapun, usaha terdahulu itu hanya memberikan penyelesaian sementara tanpa menangani punca sebenar masalah.
Selain menambah baik jalan, pejabatnya turut menyalurkan peruntukan bagi membeli papan kayu terpakai untuk membaik pulih laluan pejalan kaki di kawasan penempatan berkenaan.
Katanya, laluan pejalan kaki itu telah rosak sejak bertahun-tahun lalu dengan struktur kayunya semakin reput dan rapuh, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk.
“Dengan bantuan seorang wakil penduduk yang prihatin, kami berjaya menemukan individu yang sudi menjual papan kayu terpakai yang sesuai pada harga berpatutan untuk membaik pulih laluan berkenaan,” katanya.
Yii berkata, meskipun kerja menambah baik jalan dan membaik pulih laluan pejalan kaki mungkin dilihat sebagai projek berskala kecil, ia mampu membawa perubahan bermakna kepada kehidupan harian penduduk.
“Setiap permasalahan yang dibangkitkan masyarakat wajar diberikan perhatian dan kami akan terus berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan penduduk di peringkat akar umbi,” tambahnya.




