PETRA JAYA, 26 November: Penyiapan baki jajaran jalan sepanjang 16 kilometer antara Jambatan Igan hingga bulatan Sungai Bidut di Sibu bakal membawa perubahan besar kepada penduduk kawasan pesisir, khususnya dari segi akses perjalanan, peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Jemoreng, Datuk Juanda Jaya berkata, apabila laluan itu siap, perjalanan dari Igan ke Sibu dijangka hanya mengambil masa kurang satu jam, dengan jarak kira-kira 69 kilometer.
Beliau menyifatkan laluan berkenaan sebagai antara projek penting yang mampu mengubah landskap pembangunan kawasan pesisir Melanau, selain memudahkan penduduk dari Mukah dan Daro mendapatkan akses ke Sibu.
“Apabila jalan ini siap nanti, penduduk kawasan N.44 Jemoreng dan kawasan DUN bersebelahan akan mendapat akses dari Jambatan Igan ke Sibu hanya 69 kilometer. Saya fikir perjalanan dari Igan ke Sibu tidak sampai satu jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada Calon GPS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di sini, hari ini.
Menurut Juanda, kemudahan jalan raya di kawasan Jemoreng kini semakin menyeluruh, dengan kebanyakan projek yang diluluskan sedang dalam pelaksanaan atau hampir disiapkan.
Antara projek terbaharu yang diluluskan ialah jalan dari seberang Pasar Matu ke Kampung Bertong, manakala beberapa laluan lain sedang dibina dan ditambah baik.
Beliau turut menyebut pembinaan jalan ke Kampung Jemoreng Baharu yang bertujuan membuka kawasan perkampungan baharu, selain jalan alternatif di belakang Kampung Igan bagi memudahkan akses ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Igan dan Sekolah Kebangsaan Igan.
Katanya, jalan alternatif itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan, malah berpotensi membuka kawasan baharu untuk penduduk membina kediaman.
Dalam pada itu, Juanda mengingatkan penduduk supaya mengutamakan keselamatan apabila kemudahan jalan raya dan Jalan Pesisir yang merentasi kawasan DUN Jemoreng siap sepenuhnya.
Beliau menegaskan pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan, termasuk memakai topi keledar ketika menunggang motosikal serta tidak melakukan ‘P-turn’ di lokasi yang tidak dibenarkan kerana boleh mengundang kemalangan.
“Apabila kemudahan jalan raya sudah wujud, penduduk perlu berhati-hati, ikut peraturan dan mematuhi undang-undang. Kemudahan yang dibina perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Mengulas pendekatan kempen, Juanda berkata beliau akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja di peringkat akar umbi menerusi kunjungan dari rumah ke rumah dan pertemuan secara berkumpulan.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan beliau mendengar sendiri permasalahan penduduk serta mendekati pengundi, termasuk mereka yang tidak menyokong GPS.
“Yang menyokong kita, kita akan jaga. Yang tidak menyokong kita juga akan kita jumpa dan jaga. Kita membawa tema perpaduan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata pendekatan berkelompok yang diamalkan sejak dua penggal lalu lebih berkesan kerana memberi ruang kepada pertemuan secara langsung dengan penduduk, berbanding mengadakan perhimpunan terbuka secara besar-besaran.
Pada PRN Sarawak ke-12 2021 lalu, Juanda Jaya yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mempertahankan kerusi DUN N.44 Jemoreng dengan memperoleh 5,623 undi, sekali gus menewaskan dua pencabar iaitu Osman Rafaie (Bebas) yang meraih 611 undi dan Ustazah Zainab Suhaili (Amanah) dengan 244 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Juanda memperoleh majoriti 5,012 undi daripada keseluruhan 6,478 undi sah.
Ketika itu, seramai 6,629 daripada 9,963 pemilih berdaftar keluar mengundi, bersamaan kadar keluar mengundi kira-kira 66.5 peratus.
Oleh Afiq Sallehi




