KUALA LUMPUR, 26 November: Penglibatan pelajar dalam kegiatan akaun keldai yang digunakan sindiket penipuan semakin membimbangkan, sekali gus usaha pencegahan jenayah dan perlindungan golongan muda perlu diperkukuh, menurut Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Naib Pengerusi Kanan MCPF Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui berkata 254,546 akaun keldai dikesan pihak berkuasa antara Januari 2023 hingga Oktober 2026, dengan pelajar turut dikenal pasti dalam kalangan individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sindiket penipuan.
Beliau berkata perkembangan itu merupakan amaran serius bahawa pendidikan pencegahan dan intervensi awal perlu dipertingkatkan sebelum lebih ramai golongan muda terjerumus dalam kegiatan jenayah sehingga menjejaskan masa depan mereka.
“Ada yang mungkin terlibat secara sedar kerana mengejar keuntungan mudah, namun ada juga yang mungkin diperdaya, dimanipulasi atau dieksploitasi akibat kurangnya pengetahuan kewangan dan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi MCPF Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa hampir 193,000 kes penipuan dalam talian dengan kerugian RM7.33 bilion direkodkan dalam tempoh sama.
King Lim berkata pencegahan jenayah dan perlindungan hak asasi manusia perlu bergerak seiring, termasuk memastikan individu bawah umur yang diperdaya atau dieksploitasi mendapat perlindungan, pemulihan dan pendidikan sewajarnya.
“Perlindungan untuk kanak-kanak hari ini tidak boleh berhenti di pintu pagar sekolah atau di pintu rumah. Kita juga mesti melindungi mereka dalam dunia digital,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, King Lim berkata beliau mewakili MCPF pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di sini hari ini.
MoU bagi tempoh 2026 hingga 2029 itu menyediakan kerangka kerjasama dalam bidang pencegahan jenayah, kesedaran hak asasi manusia, perlindungan kanak-kanak, keselamatan komuniti, pendidikan, advokasi dan penyelidikan.
Beliau berkata kerjasama itu turut merangkumi cadangan program keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di Sabah dan Sarawak, selain memperluas usaha pencegahan ke kawasan pedalaman, kampung dan rumah panjang.
King Lim berkata kejayaan MoU itu perlu diukur berdasarkan manfaat yang dirasai rakyat, termasuk keberkesanan pendidikan pencegahan serta usaha melindungi golongan muda daripada terjebak dalam kegiatan jenayah. – Bernama




