KOTA SAMARAHAN, 25 November: Keunikan air sadap nipah dan gula apong asli Sarawak menjadi inspirasi kepada lima pelajar Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam menghasilkan produk inovasi yang bakal diketengahkan ke pentas kebangsaan.
Produk dikenali sebagai Pyor Sadap itu berjaya meraih geran pembangunan berjumlah RM1,800 menerusi Pertandingan Senivasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026.
Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan pasukan berkenaan melangkah ke peringkat akhir pertandingan (Final Showcase) yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 3 Disember depan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pasukan itu dianggotai Wellington Graman Wee, Abang Mohamad Amirul Abang Mohamad Dzulkhunaini, Nurhidayah Rahman, Louis Miguel Medan dan Charlene Santa Matthias.

Inovasi berkenaan menggabungkan elemen kejuruteraan, kreativiti dan keusahawanan dalam usaha mengetengahkan potensi sumber warisan tempatan Sarawak sebagai produk bernilai tambah.
Pasukan tersebut mendapat bimbingan daripada Rasli Muslim selaku mentor dan Ts. Mohd Azrin Mohd Said selaku mentor bersama dari Fakulti Kejuruteraan Unimas.
Kedua-duanya berperanan membimbing pelajar dalam proses pengembangan idea, pembangunan prototaip dan pemantapan inovasi sebelum dibawa ke peringkat kebangsaan.
Perjalanan pembangunan Pyor Sadap turut diperkukuh menerusi sesi pembentangan idea dan penyertaan dalam Bootcamp Senivasi pada 16 Jun lalu.
Program berkenaan memberikan pendedahan kepada pelajar dalam aspek pembangunan produk, kreativiti, komunikasi, keusahawanan serta potensi pengkomersialan inovasi.
Kejayaan itu memperlihatkan potensi generasi muda dalam memanfaatkan ilmu kejuruteraan untuk mengangkat sumber tradisional Sarawak menerusi pendekatan inovasi moden.



