
Simbolik penyerahan kunci rumah baharu di bawah program Sinar Lestari oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim kepada Alizan (dua dari kiri) disaksikan oleh Dato Sri Nancy Shukri .
SANTUBONG: Dua keluarga kurang berkemampuan kini boleh menarik nafas lega apabila mereka menerima rumah baharu di bawah program Sinar Lestari.
Penerima tersebut adalah Alizan Abu Seman, 52, di Kampung Pasir Pandak
dan Farhan Nur Aiman Abdullah pula di Asajaya.
Majlis penyerahan kunci rumah di Kampung Pasir Pandak itu disaksikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Santubong.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama rakan strategik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) serta Pusat Khidmat P193 Santubong.
Nancy berkata inisiatif tersebut memberi impak besar kepada penerima kerana ia bukan sekadar menyediakan tempat berteduh.
“Sebaliknya, ia juga membina kehidupan yang lebih stabil untuk mereka dan keluarga.
“Saya amat berbesar hati dapat menyokong Program Sinar Lestari YAPEIM di Santubong melalui peruntukan tambahan yang diluluskan.
“Saya berharap program seperti ini dapat diterus dan diperluaskan agar lebih ramai keluarga yang kurang berkemampuan dapat menikmati kehidupan lebih selesa,” jelasnya.
Rumah Alizan dibina dengan kos RM80,000 dan siap dalam tempoh tujuh bulan dengan tambahan peruntukan RM30,744 daripada pejabat Ahli Parlimen Santubong.
Alizan yang ditemani isterinya, Asni Sabang, 49 tahun, merakamkan penghargaan dan syukur kepada penyumbang yang membantu merealisasikan impian keluarga kurang berkemampuan untuk memiliki tempat tinggal lebih selesa.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim yang turut menyerahkan kunci rumah kepada Farhan dalam majlis berasingan di Asajaya.
YAPEIM turut memberikan bantuan sokongan perniagaan bernilai RM3,000 kepada setiap penerima bagi membantu mereka menjana pendapatan.
Oleh MASRIN AFFIRAH