SIMANGGANG: Kelangsungan operasi sekolah luar bandar seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Engkeranji amat penting bagi memastikan akses pendidikan terus dinikmati anak-anak di kawasan pedalaman dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, walaupun SK Engkeranji dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), peranan sekolah berkenaan dalam menyediakan pendidikan kepada anak-anak luar bandar tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, komitmen para guru dan warga sekolah yang terus melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak perlu dihargai kerana pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan generasi muda di kawasan pedalaman.
“Kelangsungan operasi sekolah luar bandar seperti SK Engkeranji amat penting bagi memastikan akses pendidikan terus dinikmati oleh anak-anak di kawasan pedalaman dan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau SK Engkeranji 2026 yang berlangsung di sini semalam.
Dalam pada itu, Mong turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur Majlis Merarau SK Engkeranji atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sehingga majlis berkenaan dapat dianjurkan dengan jayanya.
Beliau turut menghargai pihak pengurusan sekolah, khususnya para guru dan warga SK Engkeranji yang terus memberikan khidmat serta komitmen dalam memastikan proses pendidikan anak-anak setempat dapat diteruskan.
Pada majlis tersebut, Mong turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Engkeranji.
Sementara itu, Guru Besar SK Engkeranji, Anrelson Gara merakamkan penghargaan kepada Mong atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap pembangunan serta keperluan sekolah berkenaan.
Katanya, sokongan yang diberikan wakil rakyat berkenaan banyak membantu pihak sekolah dalam usaha mempertingkatkan kemudahan dan mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih baik untuk warga sekolah.
Majlis Merarau SK Engkeranji 2026 turut menjadi wadah mengeratkan hubungan antara warga sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat, selain mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan pembangunan pendidikan luar bandar terus diberi perhatian.
Turut hadir Yang Dipertua PIBG SK Engkeranji, Wilson Ayai; Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Sri Aman, Jesi Bintoh; barisan pengurusan sekolah, guru-guru serta Tuai-tuai Rumah dari kawasan Semulong, Munggu Sawa dan Engkeranji.
Oleh Adi Safarman





