KUCHING: Sikap toleransi yang ditunjukkan oleh rakyat di negeri ini dalam menghadapi pandemik Covid-19 tanpa mengira anutan agama menjadi bukti betapa utuhnya perpaduan kaum di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat di negeri ini seharusnya berbangga kerana Sarawak mempunyai penduduk berbilang agama, latar belakang, dan kaum tetapi hidup sebagai sebuah keluarga.
“Itu adalah sesuatu yang unik di Sarawak dan kita mesti melindungi budaya ini,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) di sebuah hotel di sini, petang ini.
Dalam pada itu, pemimpin nombor satu Sarawak ini juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Allah kerana rakyat di Sarawak menghormati antara satu sama lain.
“Sebab itu dalam elemen Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), salah satu perkara yang dititikberatkan ialah keterangkuman sosial.
“Ketika Covid-19, kita boleh lihat sikap tolong-menolong tanpa mengira agama ditunjukkan oleh setiap rakyat Sarawak. Tanpa melihat agama yang dianuti, mereka yang beragama Islam membawa mangsa Covid-19 yang bukan Islam ke hospital. Agama tidak menghalang rakyat kita membantu sama lain. Inilah keunikan di Sarawak,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN