

PARIS: Dengan berbekalkan 4,000 biji telur dan satu trak penuh gula serta krim, sekumpulan cef pastri Perancis berjaya menyiapkan kek strawberi sepanjang 121.8 meter (m) pada Rabu yang mereka dakwa sebagai kek terpanjang pernah dihasilkan di dunia.
Cef Youssef El Gatou mengumpulkan 20 cef untuk menghasilkan karya seberat 1.2 tan itu yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan.
Kek berkenaan dipamerkan di atas meja di sebuah gelanggang luncur ais di Argenteuil, pinggir Paris, untuk tontonan penduduk tempatan.
Usaha itu berjaya mengatasi rekod terdahulu kek strawberi sepanjang 100.48 m yang dibuat di bandar San Mauro Torinese, Itali, pada 2019.
Kek ciptaan El Gatou itu juga menggunakan 350 kilogram (kg) strawberi, 150 kg gula dan 415 kg krim.
Untuk diiktiraf dalam Rekod Dunia Guinness (GWR), kek itu perlu mempunyai lebar dan tinggi sekurang-kurangnya lapan sentimeter (sm).
Menurut isteri El Gatou, Nadia El Gatou, logistik projek itu sangat mencabar sehingga mereka terpaksa ‘menggunakan alat pemanas untuk memanaskan mangkuk’ campuran krim.
El Gatou berkata, sejak kecil, dia sudah memiliki impian untuk mencipta satu rekod dunia.
“Saya mencari satu produk atau pastri Perancis yang sesuai dan pada masa sama ingin mengetengahkan hasil pertanian tempatan seperti strawberi Perancis dan produk tenusu seperti susu, krim dan mentega,” katanya kepada AFP.
Penduduk Argenteuil yang hadir untuk melihat kek berkalori tinggi itu pada Rabu lalu turut diberikan sepotong kek untuk dibawa pulang. – AFP