
PETRA JAYA: Kejohanan MATTA Malaysia Pickleball Grand Slam 2025 (MPG2025), yang akan berlangsung di PIKABOL Malaysia’s Pickleball Powerhouse dari 7 hingga 20 Oktober ini, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 kepada para pemenang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyatakan bahawa jumlah hadiah tunai yang terbesar di rantau ini dijangka menarik penyertaan pemain berprestasi tinggi serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai sukan tersebut.
“MTCP menyokong penuh penganjuran kejohanan ini dan kami teruja untuk menyambut kehadiran pemain, pegawai serta peminat sukan di Sarawak bagi menyaksikan pertandingan yang pasti menarik dan penuh bermakna,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri MTCP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, semasa sidang media MPG2025 di Bangunan Baitulmakmur 2, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa lebih 1,350 peserta dari dalam dan luar negara akan mengambil bahagian, manakala jumlah pengunjung dijangka melebihi 2,600 orang.
Kejohanan ini bukan sahaja akan memeriahkan suasana, tetapi juga memberi impak ekonomi yang ketara kepada negeri ini.
Tambahnya, acara ini bakal merancakkan sektor pelancongan, hospitaliti, makanan, pengangkutan, serta pusat membeli-belah, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
MPG2025 akan menampilkan pelbagai kategori, termasuk acara berpasukan dan individu bagi beregu lelaki, wanita, dan campuran, merangkumi pelbagai tahap kemahiran serta kumpulan umur.
Sidang media tersebut turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MATTA dan Persatuan Pickleball Malaysia, yang bertujuan memperkukuh kerjasama jangka panjang dalam pembangunan sukan pickleball serta meningkatkan impaknya terhadap industri pelancongan di Sarawak dan Malaysia.
Turut hadir, Presiden Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA), Nigel Wong; Pemangku Setiausaha Tetap MYSED, Desmond Douglas Jerukan; Pengerusi MATTA Sarawak, Oscar Choo; serta tetamu kehormat lain.
– UKAS