SIBU, 7 November: Kejayaan amalan penyusuan susu ibu bukan bergantung kepada ibu semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan suami, keluarga dan masyarakat bagi memastikan bayi mendapat permulaan kehidupan yang sihat.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, sokongan persekitaran memainkan peranan penting dalam membantu ibu meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama kehidupan bayi.
Menurutnya, sokongan itu boleh ditunjukkan melalui bantuan menguruskan rumah tangga, menjaga anak-anak lain, memberikan ruang kepada ibu untuk berehat serta menyediakan kemudahan mesra ibu menyusu.
“Apabila kita menyokong seorang ibu, kita sebenarnya sedang membantu membina masa depan seorang anak.
“Perkara kecil seperti membantu ibu menguruskan anak, memberikan kata-kata semangat atau menyediakan kemudahan untuk ibu menyusu mampu membawa perubahan yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Penyusuan Lestari dan Generasi Sihat Klinik Kesihatan Daro 2026 di Dewan Masyarakat Daro, hari ini.


DR SAFIEE…Ketika melawat pameran sempena Hari Penyusuan Lestari dan Generasi Sihat Klinik Kesihatan Daro 2026 di Dewan Masyarakat Daro, hari ini.
Dr Safiee berkata, penyusuan susu ibu secara eksklusif disarankan sepanjang enam bulan pertama sebelum diteruskan bersama pemberian makanan pelengkap berkhasiat sehingga anak berusia dua tahun atau lebih.
Katanya, tempoh 1,000 Hari Pertama Kehidupan, bermula dari awal kehamilan sehingga anak mencapai usia dua tahun, merupakan fasa penting bagi pertumbuhan fizikal, perkembangan otak dan kesihatan kanak-kanak.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan bayi mendapat pemakanan mencukupi dan berkualiti sejak dalam kandungan, diikuti penyusuan susu ibu serta pemberian makanan pelengkap yang sesuai apabila mencapai usia enam bulan.
Dalam usaha menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Daerah Daro, beliau menggesa ibu bapa meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemakanan seimbang.
Menurutnya, anak yang kelihatan kenyang tidak semestinya mendapat nutrien mencukupi kerana kuantiti makanan sahaja tidak menjamin keperluan pemakanan untuk tumbesaran mereka dipenuhi.
Beliau berkata, ibu bapa boleh memanfaatkan sumber makanan tempatan yang mudah diperoleh seperti ikan, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan dengan memastikan makanan disediakan secara bersih serta bersesuaian dengan usia anak.

Dr Safiee turut memaklumkan bahawa Daerah Daro mempunyai Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu yang terdiri daripada orang awam terlatih dan bersedia membantu ibu yang menghadapi kesukaran sepanjang tempoh penyusuan.
Justeru, beliau menggalakkan ibu mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan daripada kumpulan berkenaan atau fasiliti kesihatan termasuk Klinik Kesihatan Daro dan Hospital Daro.
Selain kesihatan anak-anak, beliau turut mengingatkan wanita supaya tidak mengabaikan kesihatan diri, khususnya dengan menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan secara berkala.
Beliau berharap kerjasama antara Klinik Kesihatan Daro, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat terus diperkukuh bagi meningkatkan tahap kesihatan komuniti serta melahirkan generasi Daro yang lebih sihat dan sejahtera.
Oleh Akun Giman




