
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengadakan pemeriksaan ke atas semua kedai kopi di sekitar bandar Sibu, hari ini.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Kaunselor Yiing Sy Huat berkata, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan semua kedai kopi di bandar ini mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan, demi keselesaan dan keselamatan pelanggan.
“Pada hari ini adalah pertama untuk penggal baharu ahli majlis (MPS) turun padang bersama kakitangan MPS menjalankan pemeriksaan di kedai-kedai kopi di sekitar bandar ini.
“Pemeriksaan hari ini disertai oleh seramai lapan ahli majlis, empat daripadanya adalah ahli majlis yang lama dan empat lagi yang baharu.
“Kita bahagi kepada dua pasukan, satu pasukan empat ahli majlis, masing-masing dua ahli majlis baharu dan lama bersama kakitangan pihak majlis turun menjalankan pemeriksaan di kedai- kedai kopi sekitar kawasan bandar Sibu,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan kebersihan termasuk peralatan dapur seperti pinggan mangkuk, cawan, kuali, tandas, makanan serta minuman dan sebagainya.
“Ini bagi memastikan kedai kopi mematuhi standard kebersihan yang telah ditetapkan, kita pastikan pengusaha tidak menggunakan pinggan mangkuk, cawan dan kuali bocor atau lama.
“Kita juga memastikan pengusaha atau pengendali makanan dan minuman kedai kopi tidak menggunakan atau menyediakan makanan yang sudah tamat tarikh luput.
“Begitu juga tandas, pastikan ianya sentiasa berada dalam keadaan bersih, berfungsi dan dilengkapi dengan sabun atau cecair pencuci,” jelasnya.
Beliau menasihatkan pengendali makanan dan minuman supaya sentiasa memakai topi, apron dan kasut semasa menyediakan makanan.
“Kita memohon kerjasama daripada orang ramai supaya membuat aduan kepada pihak majlis jika terdapat kedai kopi yang tidak mematuhi standard kebersihan yang telah ditetapkan.
“Bersama-samalah kita menjadikan Sibu sebagai sebuah bandar yang bersih,” katanya.
Kepada orang ramai yang ingin membuat aduan boleh melalui WhatApps 0198179297
atau email:SMC@smc.gov.my
Oleh Akun Giman