KUCHING: Cukai jalan bagi kereta elektrik atau hidrogen milik persendirian perlu diberikan secara percuma dalam tempoh tiga hingga lima tahun, dengan dibiayai oleh kerajaan Sarawak bagi rakyat Sarawak, kata Dato Ahmad Ibrahim.
Cadangan itu merupakan salah satu usul yang dibangkitkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Batu Kawa untuk Konvensyen PBB akan datang.
Beliau yang juga Ketua Cawangan PBB Batu Kawa berkata usul tersebut penting sebagai sokongan kepada inisiatif hijau oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke arah persekitaran yang bersih dan sihat.
”Selain itu, kita turut mengusulkan agar semua dialisis bagi pesakit buah pinggang yang dilakukan di klinik atau pusat dialisis swasta diberikan secara percuma kepada rakyat Sarawak dan dibiayai oleh kerajaan Sarawak.
”Usul yang ketiga yang akan dibentangkan ialah untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden Kanan dan Naib Presiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat perwakilan PBB Cawangan Batu Kawa sesi 2024-2027 yang disempurnakan oleh Naib Presiden PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan jawatankuasa PBB Cawangan Batu Kawa yang baharu akan lebih proaktif dalam mendekati masyarakat serta memperbaiki kemampuan dan keberkesanan pentadbiran parti.
”Saya menggesa setiap pihak untuk mengumpul maklumat demografi yang penting untuk semua ahli supaya isu-isu berkaitan dengan urbanisasi dan keadaan sosioekonomi dapat terus diatasi dengan lebih mudah.
”Justeru, isu seperti pengangguran, persekolahan, latihan, perumahan, kesihatan, kebajikan dan sebagainya dapat diberi perhatian yang sewajarnya daripada pihak tertentu untuk tindakan mereka selanjutnya,” katanya.
Pada masa sama beliau turut menggesa sayap belia terus menambah keahlian bagi memastikan lebih ramai anak-anak muda dapat dibimbing dan menyertai setiap aktiviti di peringkat cawangan atau negeri.