PETRA JAYA: Pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di Kuching akan diteruskan selagi keadaan jerebu belum mencapai tahap darurat, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, tiada masalah untuk sambutan Hari Malaysia diadakan secara besar-besaran termasuk pertunjukan bunga api selagi keadaan jerebu belum mencapai tahap kecemasan.
Menjawab gesaan orang ramai supaya pertunjukan bunga api dibatalkan susulan keadaan jerebu ketika ini, Abdul Karim berkata asap yang dihasilkan bunga api adalah kecil berbanding asap daripada kenderaan di jalan raya.
“Bunga api memang menghasilkan asap. Tetapi kereta kita di jalan raya menghasilkan lebih banyak asap berbanding bunga api,” katanya selepas Sidang Media Festival Sastera Sarawak 2026 dan Aspirasi Miri sebagai Bandar Kreatif Sastera UNESCO di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara sama turut ditanya kepadanya ketika Festival Asajaya minggu lalu, namun tidak mahu menafikan peluang penduduk Samarahan dan Asajaya menikmati pertunjukan bunga api sebagai sebahagian daripada sambutan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan akan berbeza sekiranya Kuching diisytiharkan berada pada tahap darurat akibat jerebu.
“Kalau sudah diisytiharkan darurat kerana jerebu, semuanya dihentikan. Kalau sudah sampai tahap darurat, memang sambutan Hari Malaysia ini pun dibatalkan.
“Kalau bacaan masih 100, lebih 100 atau 200 dan masih dalam kategori tidak sihat serta sangat tidak sihat, kita masih boleh teruskan. Kalau sampai tahap darurat, barulah kita hentikan.
“Kita harap pada 16 September nanti keadaan itu berada dalam jumlah tersebut atau lebih rendah. Kalau mahu melihat bunga api pun, boleh pakai pelitup muka,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa pihak menerusi media sosial menggesa supaya pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Malaysia di Kuching dibatalkan susulan keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini.
Pertunjukan bunga api dijadualkan berlangsung di Tebingan Kuching berhampiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 peringkat kebangsaan di Kuching, 16 September ini.
Sambutan Hari Malaysia tahun ini pula akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Oleh Shikin Mahmud





