SERIAN: Kebun lada di Kampung Krait bukan sekadar lokasi penanaman lada, malah menjadi medan pertemuan antara pekebun tempatan dengan syarikat pembeli dari Jepun yang berkongsi matlamat sama, iaitu memastikan Lada Malaysia terus memenuhi jangkaan pasaran antarabangsa.
Menurut kenyataan Lembaga Lada Malaysia (MPB), lawatan itu memberi peluang kepada pekebun untuk berkongsi pengalaman mengurus tanaman, manakala delegasi Jepun pula dapat melihat sendiri bagaimana amalan di peringkat ladang menyumbang kepada penghasilan Lada Malaysia yang berkualiti tinggi.
Pendekatan membawa pembeli lada antarabangsa terus ke kebun mencerminkan komitmen MPB untuk meningkatkan keyakinan pasaran terhadap Lada Malaysia, bermula daripada sumber pengeluarannya sehingga ke tangan pengguna.
MPB berkata, usaha itu turut memperkukuh hubungan antara pengeluar tempatan dengan pembeli antarabangsa, selain menyokong pembangunan industri lada negara agar terus berdaya saing di pasaran global.




