KOTA KINABALU: Lima kanak-kanak dan remaja perempuan yang rentung dalam kebakaran tiga rumah di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas di sini hari ini adalah adik-beradik daripada dua keluarga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas Agustavia Joe Guasi berkata mangsa dikenal pasti sebagai Raisa Adrian, 4, bersama dua adiknya iaitu Raidah, 3, dan Raina, 1, manakala satu lagi keluarga terdiri Amidah Wahid, 14, dan adiknya Siti Faridah, 3.
“Semua mayat mangsa ditemukan dalam rumah yang sama iaitu di rumah tiga beradik tersebut dan mangsa dua beradik adalah jiran mereka yang tinggal berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata ibu kepada tiga beradik itu yang sarat mengandung selamat dalam kejadian tersebut dan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas di sini untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada 12.54 tengah hari.
Kejadian itu melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus serta sebuah kedai runcit, stor dan dua kenderaan, sebelum kebakaran berjaya dikawal pada 1.29 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata polis bersama agensi terbabit sedang menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut dan setakat ini disiasat di bawah kes mati mengejut.
“Kita sedang siasat dan berkerjasama dengan pihak bomba serta agensi yang lain,” katanya yang meminta semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi.
Dalam pada itu, pemandu e-hailing Johanis Majan, 47, berkata dia terkejut apabila terdengar jeritan orang ramai sebelum meluru keluar dari rumahnya yang terletak berhampiran dan melihat api marak dengan cepatnya.
“Orang ramai kata ada budak dalam itu rumah, jadi saya bersama yang lain cuba cari jalan untuk masuk (rumah) tetapi memang susah kerana zink sudah bertaburan dan asap tebal hingga tidak nampak apa-apa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Suri rumah Aini Mariati Jafar, 39, pula berkata dia bersama suami cuba mendekati rumah yang terbakar untuk membantu tetapi asap tebal menyebabkan mereka tidak dapat bernafas dan terpaksa berundur.
“Sedih sangat kerana selalu jumpa budak-budak ini lalu depan rumah saya, kami semua cuba bantu untuk masuk rumah tetapi tidak boleh. Sebelum ini pernah berlaku kebakaran di sini tetapi tidak seburuk hari ini hingga mengorbankan nyawa,” katanya.– BERNAMA