Kebakaran hutan di Tuscany: 3,500 dipindahkan, lebih 800 hektar musnah

Facebook
WhatsApp
FOTO yang diambil dan diedarkan pada 1 Mei 2026 oleh Kor Bomba Itali (Vigili del Fuoco) ini menunjukkan anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran besar di Gunung Faeta, di kawasan antara wilayah Lucca dan Pisa di rantau Tuscany. Foto AFP

ROM: Pihak berkuasa Itali pada Jumaat memindahkan kira-kira 3,500 penduduk di wilayah terkenal Tuscany ketika mereka berusaha mengawal kebakaran hutan yang telah marak lebih 24 jam.

Lebih 800 hektar kawasan telah musnah akibat kebakaran di pergunungan antara bandar bersejarah Lucca dan Pisa.

“Kira-kira 3,500 orang terjejas,” menurut kenyataan pihak berkuasa perbandaran San Giuliano Terme.

“Angin telah menolak api merebak lebih jauh ke kawasan cerun bawah,” menuju ke kampung Asciano, menurut kenyataan itu.

Tiga pesawat pemadam jenis Canadair dan sebuah helikopter dikerahkan untuk memadam kebakaran tersebut.

Sebanyak 19 kenderaan bomba terlibat, manakala tentera dan polis turut membantu operasi pemindahan.

Dua gimnasium di kawasan itu yang dijadikan pusat penempatan sementara kini menempatkan sekitar 107 mangsa yang dipindahkan.

Kebakaran hutan lazim berlaku di Itali, biasanya pada musim panas yang masih belum tiba, namun musim itu kini bermula lebih awal berikutan peningkatan suhu global. – AFP