ASAJAYA: Kebakaran belukar di Kampung Moyan Ulu, Asajaya, membabitkan kawasan seluas kira-kira 2.8 hektar, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.00 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada 9.07 pagi.
“Pasukan menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 800 kaki dan dua nozel daripada Pam Angkut GP 10/10.
“Bagaimanapun, pam berkenaan mengalami kerosakan pada 10.28 pagi dan tidak dapat menyedut air dari sumber terbuka, menyebabkan operasi dihentikan sementara,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima malam ini.
Beliau berkata, Pam Tohatsu BBP Asajaya kemudiannya digunakan bagi menyambung operasi pemadaman pada 3.41 petang.
“Pada 5.02 petang, Pam Tohatsu mengalami masalah terlalu panas sebelum operasi dihentikan.
“Jentera jengkaut turut membantu membuat benteng pemutus api dan kolam di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air,” katanya.
Menurutnya, kira-kira 1.2 hektar kawasan berjaya dipadamkan, manakala baki kira-kira 1.8 hektar masih belum dipadamkan.
Katanya, operasi ditangguhkan pada 6 .00 petang dan akan disambung semula esok.
Operasi diketuai PBKI Abg Othman Abg Sharbini bersama anggota BBP Asajaya.
Oleh Adele Rissa




