SARIKEI, 29 Nov: Pelaksanaan projek pembangunan di Sarikei perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan setiap projek disiapkan mengikut perancangan dan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, beliau sentiasa memberikan perhatian terhadap perkembangan projek pembangunan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Pembangunan Sarikei merupakan keutamaan saya. Saya mahu melihat setiap projek dilaksanakan dengan baik dan disiapkan mengikut perancangan.
“Sarikei merupakan kampung halaman saya dan saya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat serta pembangunan kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Adin Sarikei dan Dewan Jalan Langsat, baru-baru ini.
Selain pembangunan fizikal, Huang turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, usaha membantu golongan ibu bapa dalam memenuhi keperluan persekolahan anak-anak akan diteruskan menerusi pemberian bantuan beg sekolah, pakaian seragam dan kasut sekolah.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen beliau dalam meringankan beban kewangan keluarga, khususnya berkaitan perbelanjaan pendidikan anak-anak.
Dalam pada itu, Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan serta usaha berterusan dalam membawa pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk yang hadir di kedua-dua lokasi atas sambutan dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.
Oleh Earl Anek




